Suruh penyokong undi BN, Pas amalkan politik ‘parasitik strategik’ demi kuasa

JOHOR BAHRU – Langkah Pas memberi arahan kepada penyokong parti memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) dan menolak calon Pakatan Harapan (PH) disifatkan ‘parasitik strategik’ yang bersifat jangka pendek, tidak berteraskan idealisme, dan cenderung kepada politik survival.

Penganalisis sosiopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, langkah itu mempamerkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) hanya bergantung kepada struktur sokongan parti lain untuk mencapai objektif pilihan raya.

Menurut beliau, PAS tidak benar-benar menawarkan dominasi politik yang berdiri atas kekuatan sendiri, tetapi sebaliknya menumpang kepada kekuatan BN di kawasan tertentu semata-mata untuk menutup kelemahan daya saing sendiri.

“Apabila sebuah parti membawa agenda alternatif sanggup mengalihkan sokongan kepada parti yang pernah mereka kritik keras, ia menunjukkan bahawa kekuatan utama Pas bukan lagi pada keyakinan terhadap gagasan sendiri, tetapi pada keupayaan menyesuaikan diri mengikut keadaan semata-mata untuk memastikan lawan utama dikalahkan.

“Strategi seperti itu yang dilakukan oleh Pas dan PN menunjukkan ketidakupayaan untuk membina hegemoni politik yang stabil, sebaliknya bergantung kepada pengaturan luar yang bersifat sementara dan oportunis,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, strategi ini juga menunjukkan bahawa PAS semakin bergantung kepada politik anti-PH berbanding membina kekuatan melalui tawaran dasar yang meyakinkan sehingga memperlihatkan semakin terhakisnya prinsip konsisten dalam perjuangan parti terbabit.

Menurut beliau, apabila fokus utama adalah menghalang PH menang dan bukan mengapa PAS lebih layak mentadbir, ia mendedahkan kelemahan asas dalam pembinaan naratif politik yang hanya menggerakkan emosi sementara dan tidak membina keyakinan jangka panjang.

“Parti yang dahulu lantang menolak UMNO-BN kini dilihat sanggup mengubah pendirian apabila ia memberi kelebihan taktikal. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan persoalan tentang integriti politik, tetapi juga memperkukuh persepsi bahawa prinsip hanya digunakan sebagai retorik.

“Bukan sebagai asas tindakan. Dalam erti kata lain, idealisme oleh Pas dan PN semakin digantikan dengan kalkulasi kuasa yang bersifat praktikal dan jangka pendek,” katanya.

Tambahnya, Pas boleh dirumuskan sebagai gambaran sebuah parti yang semakin sukar berdiri sebagai kuasa politik yang benar-benar mandiri dengan bergantung kepada sokongan taktikal parti lain.

“Ia turut mengubah pendirian mengikut keperluan pilihan raya, dan lebih banyak bermain dalam ruang penolakan berbanding pembinaan, ia memperlihatkan kelemahan struktur strategi yang ketara.

“Dalam politik moden, keadaan ini sering ditafsirkan sebagai tanda bahawa sebuah parti belum cukup kukuh untuk menjadi peneraju, sebaliknya masih berada dalam fasa bergantung kepada ekosistem politik lain untuk terus relevan,” katanya.

Pas mengeluarkan arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, arahan tersebut dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada UMNO-BN di kawasan yang tidak mempunyai calon daripada gabungan berkenaan.

Related Posts

Pas jangan permainkan maruah bangsa Johor, tarik diri sahaja dari bertanding

PILIHAN RAYA bukan sekadar pertandingan merebut kerusi, tetapi medan rakyat menilai kejujuran dan ketegasan sesebuah parti politik. Atas sebab itu, setiap parti yang bertanding wajib membawa pendirian yang jelas supaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hanya PH, BN boleh tubuh Kerajaan Negeri Johor

KLUANG – Hanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Usul 17 kerusi DUN Sarawak tertangguh, Abdul Karim zahir rasa kecewa

Usul 17 kerusi DUN Sarawak tertangguh, Abdul Karim zahir rasa kecewa

Hampir 4,500 jemaah mohon insentif Haji Selangor, permohonan dibuka hingga 15 Julai

Hampir 4,500 jemaah mohon insentif Haji Selangor, permohonan dibuka hingga 15 Julai

Gol masa kecederaan bantu Kanada tewaskan Afrika Selatan

Gol masa kecederaan bantu Kanada tewaskan Afrika Selatan

Suruh penyokong undi BN, Pas amalkan politik ‘parasitik strategik’ demi kuasa

Suruh penyokong undi BN, Pas amalkan politik ‘parasitik strategik’ demi kuasa

PRN Johor: Apabila strategi mengatasi prinsip, siapa sebenarnya dapat manfaat?

PRN Johor: Apabila strategi mengatasi prinsip, siapa sebenarnya dapat manfaat?

Bantu B40 miliki lesen sah, 712 penduduk Lanang peroleh kelas B2

Bantu B40 miliki lesen sah, 712 penduduk Lanang peroleh kelas B2