KULAI – Pakatan Harapan (PH) akan memuktamadkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Isnin ini sebelum melancarkan tawaran rasmi kepada rakyat negeri itu dalam masa terdekat.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jawatankuasa Manifesto PH telah menyiapkan draf manifesto sejak minggu lalu dan kini hanya menunggu pengesahan akhir daripada barisan kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Menurut beliau, mesyuarat pemuktamadan manifesto yang dijadual berlangsung pada jam 9 pagi Isnin akan dipengerusikan oleh Pengerusi PH bersama pimpinan utama gabungan sebelum ia diumumkan secara rasmi kepada rakyat Johor.
“Kali ini kami tampil dengan satu kerangka manifesto yang realistik, bersifat ‘tangible’ dan ‘reasonable’.
“Jawatankuasa Manifesto telah memuktamadkan tawaran tersebut dan saya akan membentangkannya kepada pimpinan utama PH pada Isnin sebelum pengesahan akhir dibuat,” katanya pada sidang media di Kulai pada Sabtu.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersama PH.
Saifuddin berkata, manifesto yang bakal dilancarkan memberi fokus kepada kepentingan rakyat Johor dengan menekankan keperluan memilih sebuah kerajaan negeri yang mampu bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, keserasian antara kerajaan negeri dan Persekutuan penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan, pelaburan serta penyaluran pelbagai manfaat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Rakyat Johor berhak menikmati lebih banyak peluang pembangunan dan manfaat apabila kerajaan negeri mempunyai hubungan kerja yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan kesemua 56 calon PH berjaya mengemukakan kertas pencalonan masing-masing tanpa sebarang masalah pada hari penamaan calon.
Katanya, semua kertas pencalonan telah diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, sekali gus melengkapkan persiapan PH untuk menghadapi saingan dalam PRN Johor.
Pelancaran manifesto itu dijangka menjadi antara tumpuan utama kempen PH apabila gabungan tersebut bakal memperincikan tawaran dan hala tuju pentadbiran yang ingin dibawa sekiranya diberi mandat oleh rakyat Johor pada pilihan raya kali ini.







