
SHAH ALAM – Pengumuman tambang percuma selama sebulan bagi Laluan Rel Transit 3 (LRT3) Shah Alam disambut positif oleh orang ramai yang melihat kemudahan baharu itu mampu menjimatkan kos perjalanan harian dan meningkatkan keselesaan pengguna.
Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambang percuma bermula 29 Jun hingga 31 Julai, termasuk perkhidmatan bas perantara di sepanjang laluan tersebut pada majlis perasmian LRT3 hari ini.
Seorang pengguna Facebook, Don Ariff menyifatkan pembukaan LRT3 sebagai satu langkah yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“LRT3 memang satu langkah baik untuk semua. Semoga bila siap kelak, semua akan merasai manfaatnya dengan lebih mudah,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Ezra Azrin yang memuji keputusan kerajaan meneruskan projek infrastruktur penting itu demi kepentingan rakyat.
“Alhamdulillah, terbaik PMX meneruskan kesinambungan projek dan kemudahan penting untuk rakyat,” tulisnya.
Dalam masa sama, ada yang menzahirkan penghargaan kepada pasukan yang menjayakan pembinaan projek tersebut.
“To the engineers and contractors, we trust,” kata pengguna dikenali sebagai muhammad_ilyas01.
Kemudahan akses ke stesen turut menjadi perhatian pengguna yang tinggal berhampiran jajaran LRT3.
“Memang tak payah ambik Grab. Cuma jalan kaki aje ke LRT Seksyen 7 Shah Alam,” kata billangrs.
Seorang lagi pengguna, ahtzumae, berkongsi pengalaman menggunakan laluan itu yang memudahkan perjalanan hariannya.
“Ya, saya turun sini, tapau makan kat tepi tu, lepas tu jalan kaki naik bukit pergi Mercu Maybank,” katanya.
Bermula jam 6 pagi, 29 Jun, pengguna di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya boleh menikmati perkhidmatan LRT3 secara percuma selama sebulan sehingga 31 Julai.
LRT3 Shah Alam menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama sejauh 37.8 kilometer menerusi 20 stesen, selain menawarkan sambungan ke MRT Kajang di Bandar Utama dan LRT Kelana Jaya di Glenmarie.
Kerajaan juga turut mengumumkan pas perjalanan tanpa had My50 akan diperluaskan ke laluan LRT3 bermula 1 Ogos, sekali gus memberi lebih nilai kepada pengguna pengangkutan awam.




