
KUCHING – Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) membidas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak yang didakwa berterusan memutar belit fakta berhubung isu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu.
Timbalan Bendaharinya, Afiq Fikri Brahim berkata, DAPSY bertindak angkuh apabila menidakkan usaha kerajaan Sarawak yang diterajui Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semata-mata demi menyanjung figura politik dari Semenanjung.
Menurutnya, walaupun isu visual yang disunting bagi menutupi wajah Premier sebelum ini diperbetulkan, pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan maaf dan mendakwa pergerakan itu enggan mengakui kekhilafan mereka.
“Kita juga kesal apabila DAPSY masih memperkecilkan nilai pampasan RM1.8 bilion yang dibayar (kepada kerajaan Persekutuan) bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu.
“Walaupun nilai ini hasil rundingan, ia merupakan sejumlah wang yang besar iaitu lebih tinggi daripada keseluruhan Belanjawan Pulau Pinang 2026 pimpinan DAP, dan tiga kali ganda lebih besar berbanding rizab negeri berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Afiq Fikri yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak menjelaskan, keupayaan itu membuktikan kedudukan kewangan Sarawak kini berada pada tahap yang sangat kukuh.
Jelasnya, ia adalah hasil berkat kepemimpinan jitu Premier Sarawak dalam memacu ekonomi negeri, malah kejayaan itu turut diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, menyentuh berkenaan kenyataan DAPSY yang mendakwa turut mengiktiraf usaha kerajaan Sarawak mengembalikan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau mengingatkan agar pengiktirafan tersebut bukan sekadar retorik politik.
“Jangan hanya iktiraf perjuangan MA63 sekiranya ia melibatkan pemimpin utama DAP dan Pakatan Harapan (PH) sahaja, (sebaliknya) iktiraf juga kejayaan yang dikecapi melalui pimpinan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.
“Perjuangan menuntut dan mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63 merupakan perjuangan konsisten kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selama ini, dan ia bukanlah sekadar slogan politik bermusim untuk meraih populariti,” tegasnya.

