Pas dan Bersatu berebut guna logo PN, PH ada peluang menang PRN Johor

PUTRAJAYA – Perebutan logo Perikatan Nasional (PN) antara Pas dan Bersatu mencerminkan kegagalan pembangkang dalam membina satu struktur gabungan yang benar-benar stabil, tersusun dan dihormati oleh semua parti komponennya.

Penganalisis sosiopolitik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, tindakan itu juga mempamerkan keretakan serta bentuk kelemahan serius dalam disiplin politik dan pengurusan koalisi.

Menurut beliau, perseteruan sedemikian membuktikan PN seolah-olah tidak lagi berfungsi sebagai satu entiti politik yang cohesive namun simbol gabungan itu masih menjadi rebutan sehingga mahu digunakan untuk tujuan survival politik.

“Apabila sebuah gabungan politik tidak lagi mempunyai autoriti tunggal yang dipersetujui, sehingga simbol rasmi seperti logo turut dipertikaikan, ia menandakan bahawa PN sedang mengalami krisis kepimpinan dan krisis legitimasi dalaman yang ketara.

“Lebih kritikal, tindakan mempertikaikan tetapi pada masa yang sama masih cuba menggunakan logo PN walaupun hubungan politik telah longgar menunjukkan wujudnya percanggahan strategi yang jelas dalam kalangan kepimpinan PN sendiri.

“Ini menzahirkan satu bentuk ketidakkonsistenan yang melemahkan kredibiliti PN di mata pengundi. Dalam politik moden, ketegasan institusi dan kejelasan identiti adalah asas kepada keyakinan rakyat, namun PN dilihat gagal mengurus kedua-dua aspek ini secara berkesan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, kegagalan kedua-dua parti dalam mengawal naratif dalaman secara langsung menjejaskan imej PN sebagai alternatif kerajaan yang stabil dan terurus, sehingga konflik dalaman menjadi bahan perbualan awam.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menurut beliau, persepsi ketidakstabilan sering kali lebih merosakkan daripada kelemahan polisi, kerana ia menyentuh keyakinan asas pengundi terhadap keupayaan governans.

“Akhirnya, konflik ini mendedahkan satu hakikat yang lebih besar iaitu PN masih belum berjaya bertransformasi daripada sekadar gabungan taktikal kepada satu entiti politik yang benar-benar institusional.

“Selagi isu asas seperti identiti, autoriti dan disiplin dalaman tidak dapat diselesaikan, PN akan terus dilihat sebagai gabungan yang rapuh, reaktif dan lebih mementingkan survival elit politik berbanding kestabilan jangka panjang.

“Ini adalah kelemahan struktur yang serius.jika tidak diperbaiki, ia bukan sahaja merugikan PN dalam pilihan raya, tetapi juga melemahkan keyakinan umum terhadap keupayaan mereka sebagai alternatif politik yang kredibel,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berkata, perebutan logo secara tidak langsung menzahirkan dual legitimacy contestation yang bukan sahaja melemahkan disiplin dalaman gabungan, tetapi mewujudkan kekeliruan di kalangan pengundi, sekali gus menghakis kejelasan naratif politik PN sebagai satu blok stabil dan tersusun.

“Pada masa yang sama, kelemahan kohesi dalam PN, ditambah pula dengan konflik dalaman Barisan Nasional (BN) membuka ruang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk muncul sebagai blok yang lebih stabil dari sudut persepsi.

“Dalam politik pilihan raya moden, kestabilan persepsi sering kali lebih penting daripada kekuatan organisasi semata-mata. Oleh itu, jika PH berjaya membingkaikan isu ini sebagai kegagalan pengurusan gabungan oleh lawan mereka, mereka berpotensi memperoleh kelebihan psikopolitik dalam kalangan pengundi,” katanya.

Sementara itu, meskipun perang dingin penggunaan logo PN bagi PRN Johor kelihatan reda selepas rundingan kerusi dimuktamadkan pada Rabu, namun beliau berkata, gencatan politik itu masih belum cukup untuk menjamin kestabilan jangka panjang gabungan itu.

Nur Ashikin menegaskan, kesepakatan saat akhir itu sebagai hubungan ‘retak menanti belah’ hanya kosmetik politik semata-mata, meskipun kesemua parti komponen bersetuju bertanding di bawah satu nama dan logo rasmi menjelang pengumuman calon di Muar hari ini.

“Penyelesaian itu lebih menjurus kepada strategi menghadapi pilihan raya berbanding pendamaian menyeluruh terhadap perbezaan yang wujud, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa isu keretakan dalaman PN masih jauh daripada tuntas.

“Hakikat itu disandarkan kepada hubungan Pas dan Bersatu yang telah lama dibelenggu krisis kepercayaan susulan beberapa episod pertikaian termasuk kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis sebelum ini yang akhirnya membawa kepada Pas menamatkan kerjasama dengan parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesemua parti anggota asal gabungan itu, iaitu Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor selain turut memperuntukkan kerusi kepada sekutu baharu mereka, Pejuang.

Related Posts

Kes Haim Hilman: Masyarakat jangan buat spekulasi sembarangan

SEREMBAN – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, masyarakat dinasihatkan jangan membuat sebarang spekulasi atau komen kes Exco Pengajian Tinggi Kedah, Dr Haim Hilman yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pergolakan PN makin jelas, Pas dan Bersatu umum calon berasingan malam ini

PUTRAJAYA – Pas dan Bersatu dijadualkan mengadakan majlis pengumuman calon secara berasingan walaupun masih di bawah bumbung Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Berdasarkan hebahan dibuat…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pasukan Pelaut dicadang diwujudkan di sekolah, pelajar diberi amaran jangan terbabit buli

Pasukan Pelaut dicadang diwujudkan di sekolah, pelajar diberi amaran jangan terbabit buli

Pembangunan rendah karbon teras Sabah Maju Jaya 2.0

Pembangunan rendah karbon teras Sabah Maju Jaya 2.0

MBSP melarang penjaja niaga di pagar mulai 2027

MBSP melarang penjaja niaga di pagar mulai 2027

Kes Haim Hilman: Masyarakat jangan buat spekulasi sembarangan

Kes Haim Hilman: Masyarakat jangan buat spekulasi sembarangan

Polis Saratok tahan ejen loteri awam haram

Polis Saratok tahan ejen loteri awam haram

Pas dan Bersatu berebut guna logo PN, PH ada peluang menang PRN Johor

Pas dan Bersatu berebut guna logo PN, PH ada peluang menang PRN Johor