PONTIAN – PKR Johor menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh bekas pemimpin UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berhubung kononnya wujud campur tangan Istana dalam urusan politik negeri sebagai satu kenyataan serius yang memerlukan bukti kukuh dan bukannya sekadar dakwaan bersifat persepsi.
Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Negeri Johor, Haniff Hosman berkata, setiap pihak perlu menghormati kedudukan Institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tonggak kestabilan negeri dan negara.
“Sebarang dakwaan yang mengaitkan Institusi Diraja dengan percaturan politik perlu dibuat secara bertanggungjawab dan berasaskan fakta yang boleh disahkan. Adalah tidak wajar mana-mana pihak membuat tuduhan terbuka yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, keputusan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri dan perjalanan pentadbiran kerajaan mempunyai proses serta kerangka perlembagaan yang jelas dan telah diamalkan sejak sekian lama.
Haniff berkata, tindakan Puad mengumumkan keluar UMNO adalah hak peribadi beliau, namun alasan yang diberikan tidak seharusnya digunakan untuk mengheret Institusi Diraja ke dalam pertikaian politik kepartian.
“Perbezaan pandangan dalam sesebuah parti adalah perkara biasa dalam amalan demokrasi. Namun apabila seseorang memilih untuk meninggalkan parti, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk melemparkan tuduhan yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi yang selama ini dihormati,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama Johor ketika ini adalah memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan ekonomi demi manfaat rakyat.
“Johor sedang berada pada landasan pertumbuhan yang memberangsangkan hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Rakyat mahukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan, bukannya polemik politik yang berpanjangan,” katanya.
Haniff turut menyeru semua pemimpin politik supaya mengamalkan budaya politik matang serta mengutamakan fakta dalam setiap kenyataan yang dibuat kepada umum.
“Sekiranya terdapat sebarang dakwaan yang mempunyai asas, saluran undang-undang dan institusi berkaitan sentiasa terbuka untuk menelitinya. Namun jika tiada bukti yang sahih, adalah lebih baik semua pihak mengelakkan kenyataan yang boleh menghakis keharmonian dan kestabilan negeri Johor,” katanya.


