
KUCHING – Kementerian Kerja Raya (KKR) menepis dakwaan bahawa lebih 100 projek pembinaan di seluruh negara tergendala akibat peningkatan kos susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, projek kerajaan yang mana pihak kontraktornya menerima Surat Setuju Terima (SST) akan terus berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau tidak menafikan wujudnya kesan peningkatan kos pengangkutan dan logistik pasca-apungan harga, namun menegaskan situasi tersebut belum mencapai tahap kritikal sehingga kementerian terpaksa menghentikan sebarang projek.
“Saya tiada maklumat berhubung dakwaan 100 projek tersebut. Dalam pemerhatian kami, memang belum sampai tahap yang ketara untuk kita menghentikan projek yang sedang dilaksanakan,” jelas beliau.
Menjawab kegusaran pemain industri, Alexander menjelaskan bahawa lonjakan harga tidak melibatkan kos bahan binaan asas secara langsung seperti simen yang secara realitinya kekal stabil di pasaran.
Sebaliknya, peningkatan kos bahan binaan dan agregat pada ketika ini adalah berpunca daripada sektor pengangkutan dan logistik.
Justeru, pihak kementerian tidak melaksanakan sebarang intervensi drastik memandangkan peningkatan kos logistik tersebut dinilai masih mampu diserap oleh pihak kontraktor berdasarkan nilai kontrak sedia ada.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel (Negeri Sarawak) yang turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Terdahulu, Amir Hamzah dalam sesi taklimat yang sama menjelaskan mengapa reformasi ekonomi itu perlu dilalui oleh setiap sektor.
Menurut beliau, penyasaran menerusi inisiatif BUDI MADANI itu adalah langkah mendesak bagi menyelamatkan perbendaharaan negara susulan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Krisis antarabangsa tersebut menyebabkan bil subsidi bahan api negara yang lazimnya berada pada tahap RM800 juta sebulan, melambung mendadak kepada RM4.7 bilion pada Mac dan RM4.9 bilion pada April.
“Peningkatan mendadak ini memberi tekanan kewangan yang besar, sekali gus menuntut kerajaan memperkenalkan BUDI MADANI bagi memastikan penampan fiskal negara kekal kukuh,” katanya.
Bagi mengelakkan gangguan kitaran rantaian bekalan industri domestik, Putrajaya telah mengarahkan syarikat minyak nasional, Petronas dan pemain industri supaya melebarkan sumber import bahan api.
Langkah mitigasi itu termasuklah membawa masuk sumber bekalan alternatif dari Rusia yang kini telah mendapat pelepasan sah daripada sekatan antarabangsa.






