
KUCHING – Tindakan seorang lelaki di bawah pengaruh dadah merempuh sekatan jalan raya sehingga mencederakan pegawai polis membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, tertuduh berusia 29 tahun itu telah didakwa dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Kuching pada Isnin.
“Lelaki terbabit dijatuhi hukuman penjara enam bulan mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, penjara setahun bagi Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan penjara sembilan bulan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas mengenai kejadian pada jam 2.40 pagi Sabtu lalu, Alexson menjelaskan, bahawa suspek telah merempuh SJR Op Bersepadu Cegah Jenayah di Jalan Padungan.
Difahamkan suspek memandu kereta Perodua Viva ketika kejadian.
Rempuhan tersebut turut melanggar seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang sedang bertugas.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian pinggang berserta luka pada siku kanan dan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Umum Sarawak.
Jelas beliau, suspek yang melarikan diri dari lokasi kejadian berjaya ditahan pada jam 7 pagi hari yang sama di Jalan Bintara, Samariang di sini.
“Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin, metamfetamin, ketamin dan benzodiazepin.
“Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau atas pelbagai kesalahan jenayah,” ujarnya.







