
PUTRAJAYA – Malaysia mencatat kemajuan memberangsangkan dalam agenda pendigitalan apabila melonjak ke kedudukan ke-13 dunia bagi faktor Infrastruktur Teknologi dalam laporan Indeks Daya Saing Global 2026 yang diterbitkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-25 yang dicatatkan tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem digital negara.
“Malaysia telah dinobatkan di kedudukan ke-13 dunia dalam faktor Infrastruktur Teknologi berdasarkan laporan Indeks Daya Saing Global 2026 oleh IMD.
“Pencapaian ini merupakan lonjakan yang amat signifikan berbanding kedudukan ke-25 pada tahun lalu,” katanya dalam Mesyuarat Kerajaan Digital pada Selasa.
Dalam mesyuarat sama, Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam sektor awam berjaya menjimatkan subsidi petrol negara sebanyak RM5.98 juta setakat 23 Jun 2026.
Menurut beliau, penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan awam terus diperkasakan menerusi aplikasi SPOT-ME yang berfungsi merekodkan kehadiran dan catatan tugasan harian penjawat awam.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada beberapa agenda utama dalam memperkukuh transformasi digital negara termasuk aspek kedaulatan data, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara selamat, integrasi MyDigital ID dan pelaksanaan pentadbiran tanpa kertas.
“Usaha ini penting bagi memastikan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih cekap, telus dan mampu memberikan nilai sebenar kepada rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.







