
PUTRAJAYA – Malaysia dan Bangladesh dijangka memperkukuhkan kerjasama strategik merangkumi sektor perdagangan, pelaburan, tenaga, semikonduktor dan pembangunan modal insan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke negara ini.
Agenda berkenaan menjadi fokus utama pertemuan dua hala antara Tarique dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini, sekali gus mencerminkan komitmen kedua-dua negara untuk memperluaskan hubungan ekonomi serta kerjasama dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Terdahulu, Tarique yang memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia diberi sambutan rasmi oleh Anwar sejurus tiba di Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 9 pagi, pada Isnin.
Ketibaan beliau disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara sebelum memeriksa Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.
Turut hadir menyambut delegasi Bangladesh ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota Jemaah Menteri serta pegawai kanan kerajaan.
Selain memperkukuhkan hubungan dua hala, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Dalam lawatan itu, kedua-dua negara turut dijadual menyaksikan pertukaran satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Kebudayaan serta dua pertukaran Nota Diplomatik (EoN) melibatkan bidang penyelidikan membanteras keganasan dan promosi serta fasilitasi pelaburan.
Hubungan ekonomi Malaysia-Bangladesh terus menunjukkan perkembangan positif apabila nilai perdagangan dua hala pada tahun 2025 mencecah RM12.18 bilion (USD2.84 bilion).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Bangladesh bernilai RM10.08 bilion (USD2.35 bilion), dengan produk petroleum kekal sebagai penyumbang utama, manakala import dari negara Asia Selatan itu berjumlah RM2.1 bilion (USD500 juta), didominasi tekstil, pakaian dan kasut.
Bangladesh kini merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia serta sumber import kedua terbesar negara di rantau Asia Selatan selepas India, sekali gus meletakkan hubungan ekonomi kedua-dua negara pada landasan yang semakin strategik.







