
SEREMBAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar terus mempertahankan keharmonian antara kaum dan tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba menyemarakkan sentimen perkauman demi kepentingan politik tertentu.
Perdana Menteri berkata, kekuatan Malaysia terletak pada keupayaan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk hidup dalam suasana saling menghormati dan bekerjasama membangunkan negara.
Menurut beliau, usaha memecahbelahkan masyarakat melalui kebencian antara kaum hanya akan menjejaskan kestabilan serta menghalang kemajuan negara.
“… dia (pemimpin) minta kita benci pada Cina, Cina benci India, India pada Melayu… jadi kita mesti bangkit, semua kena bangkit.
“Hari ini Melayu, Cina, India, Kadazan semua bermuafakat dan bekerjasama bangkit sebagai satu kekuatan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di sini, pada Ahad.
Majlis berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 anggota pertubuhan itu dan turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar berkata, penglibatan generasi muda dalam agenda pembangunan negara amat penting bagi memastikan semangat perpaduan terus diperkukuh dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Beliau turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi yang sedang dikejar negara, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan, perlu diseimbangkan dengan pembinaan sahsiah serta nilai kemanusiaan yang baik.
Pada masa sama, beliau menjelaskan lawatan kerjanya ke Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kedudukan negara dalam aspek keselamatan tenaga untuk jangka panjang.
“Saya nak jaga negara demi masa depan. Saya bukan muda lagi, tetapi saya mahu tinggalkan negara yang selamat dan terjamin supaya anak-anak kita tidak terbeban dengan masalah ketiadaan minyak atau gas,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan pada 17 dan 18 Jun sebelum mengadakan lawatan rasmi ke Turkmenistan atas jemputan Presiden negara itu, Serdar Berdimuhamedov.







