
MIRI – Seramai 200 penduduk di sekitar bandar raya ini dan pinggir bandar Lambir menerima manfaat menerusi Program Pemacu Kehidupan anjuran Petronas bersempena dengan sambutan Hari Gawai 2026.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Seri Lee Kim Shin.
Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sarawak Asset (SKA), Shalby Reduan berkata, program berkenaan merupakan inisiatif tahunan syarikat bagi memastikan manfaat pembangunannya turut dinikmati oleh masyarakat setempat.
“Kemajuan sebenar sesuatu entiti bukan sekadar diukur melalui pencapaian ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga kesejahteraan rakyat di sekelilingnya.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan Petronas untuk bersama masyarakat, sekali gus memastikan bantuan yang diberikan mampu meringankan beban penerima serta menambah keceriaan sambutan Hari Gawai bersama keluarga,” katanya.

Shalby menegaskan, hubungan erat antara Petronas dengan komuniti di Sarawak terjalin kukuh atas dasar kepercayaan, persefahaman serta tanggungjawab bersama untuk terus berkembang secara inklusif.
“Kerjasama utuh antara Petronas, agensi kerajaan dengan pelbagai pihak membuktikan bahawa usaha secara bersama mampu menghasilkan impak yang lebih besar kepada rakyat,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jawatankuasa penganjur serta sukarelawan Petronas yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran program tersebut.







