
KLUANG – Khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) minggu lalu mencetuskan perdebatan hangat apabila paparan dan info grafik khutbah itu yang disiarkan di papan layar di semua masjid di negeri itu memaparkan wajah seorang ketua parti pembangkang.
Keadaan itu menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan orang ramai susulan agensi Kerajaan Negeri Melaka seolah-olah disabotaj bagi menyebarkan kebaikan pembangkang, selain mencipta persepsi tidak cakna dengan larangan penyebaran agenda politik di masjid dan surau.
Walaupun secara jelas terbukti mempamerkan wajah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan agenda politik yang dilarang dalam premis agama namun Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berpandangan sebaliknya.
Beliau mendakwa, perkara yang dilakukan empat pegawai JAIM itu tidak akan mewujudkan sebarang polemik politik sehingga mampu menimbulkan keresahan, selain perpecahan orang Melayu dan umat Islam di masjid dan surau.
“Kita hanya melihat dia (Abdul Hadi) sebagai seorang tokoh (bukan ahli politik) namun kerajaan negeri telah bersikap tidak adil terhadap pegawai yang terlibat sehingga ada dipecat daripada agensi berkenaan.
“Saya tidak nampak adanya kegusaran mahupun pergaduhan berlaku selepas isu tersebut menjadi kecoh, tiada… Saya melihat orang UMNO dan kerajaan negeri yang sengaja mengambil kesempatan menggunakan isu tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas ceramah umum di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tengah, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga
Naib Ketua Srikandi Bersatu berpandangan, seharusnya mereka yang terlibat hanya diberikan amaran tegas tanpa melibatkan penukararan jawatan mahupun dipecat.
“Kerajaan negeri ketika ini mengamalkan sistem demokrasi yang mahukan reformasi serta pembaharuan dalam pentadbirannya, seharusnya mereka lebih sikap terbuka dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berpandangan empat pegawai termasuk seorang Ketua Penolong Pengarah di JAIM sudah dikenakan tindakan tatatertib susulan kecuaian memasukkan gambar pemimpin politik dalam paparan video khutbah Jumaat di Melaka, minggu lalu.
Katanya, tindakan termasuk memecat dan menukar jawatan itu diambil berikutan kecuaian berkenaan menimbulkan keresahan serta rungutan awam sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Islam di negeri terbabit.





