
PETALING JAYA – Festival Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ20) terus berlangsung meriah pada hari keempat penganjurannya dengan pelbagai aktiviti menarik yang menghimpunkan masyarakat setempat sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya ini.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon merasmikan PJ Learning City Festival 2026, pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP), Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MBPJ 2025–2030 serta Aplikasi PJ C-NET di Dewan Banquet, MBPJ pada Khamis.
Menurut MBPJ, penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam memperkukuh agenda pembelajaran sepanjang hayat, tadbir urus berintegriti serta transformasi digital bagi meningkatkan kecekapan, ketelusan dan daya saing penyampaian perkhidmatan bandar.
Festival yang berlangsung dari 16 hingga 21 Jun di Laman MBPJ dan Dewan Sivik Petaling Jaya itu menawarkan pelbagai aktiviti untuk segenap lapisan masyarakat, termasuk Festival Makanan, demonstrasi masakan, pertandingan makan, persembahan buskers, pertandingan LEGO Robotics Piala Datuk Bandar Petaling Jaya, Simfoni Budaya PJ, sesi mewarna kanak-kanak serta Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza.
Turut menjadi tarikan ialah program PJ Digital 2026 yang mengetengahkan pengalaman teknologi interaktif serta pelbagai program pembelajaran dan inspirasi untuk generasi muda.
MBPJ berkata sambutan MBPJ20 selaras dengan aspirasi menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar paling bahagia dan mampan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membangunkan komuniti yang seimbang dari aspek fizikal, ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
Pihaknya berharap program berkenaan akan terus menjadi platform penyatuan masyarakat serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran warga Petaling Jaya.







