
IPOH – Bandar Raya Ipoh perlu terus berkembang sebagai sebuah bandar moden dan berdaya saing tanpa mengorbankan identiti, warisan serta nilai komuniti yang menjadi kekuatan utamanya sejak sekian lama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kemajuan sesebuah bandar raya tidak seharusnya diukur semata-mata menerusi pembangunan fizikal, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan keupayaannya mengekalkan jiwa, sejarah dan hubungan erat dengan masyarakat.
Menurut beliau, sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 merupakan ruang terbaik untuk menilai pencapaian yang telah diraih, mengenal pasti cabaran semasa serta menetapkan hala tuju baharu pembangunan bandar raya itu selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.
“Kita tidak mahu Ipoh berubah menjadi bandar yang gah pada pandangan mata, tetapi kehilangan rasa dan identitinya.
“Sebaliknya, kita mahu Ipoh terus berkembang sebagai bandar yang moden tanpa melupakan sejarah, maju tanpa meninggalkan komuniti dan membangun tanpa mengorbankan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh Ke-38 di Ipoh Convention Centre (ICC), di sini pada Khamis.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim; Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Sandrea Ng Shy Ching serta Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
Saarani berkata, kejayaan sesebuah bandar raya sebenarnya bermula daripada perkara asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti penyelenggaraan jalan, kebersihan kawasan awam, taman yang selamat, sistem aduan yang responsif serta perkhidmatan pihak berkuasa tempatan yang cekap.
Menurut beliau, aspek-aspek berkenaan perlu terus diberi perhatian kerana ia menjadi ukuran sebenar terhadap tahap kesejahteraan penduduk dan keberkesanan pentadbiran bandar raya.
Sementara itu, Zamakhshari berkata, tema sambutan tahun ini, “Menjulang Aspirasi, Bandar Raya Bestari”, mencerminkan komitmen Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk terus memacu pembangunan bandar raya secara mampan, cekap dan berteraskan keperluan rakyat.
Katanya, tema tersebut bukan sekadar slogan, sebaliknya menggambarkan usaha berterusan MBI dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih berkualiti serta pengurusan bandar yang lebih berkesan.
“Menjulang Aspirasi membawa makna usaha bersama menterjemah agenda negeri kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat, manakala Bandar Raya Bestari menuntut kebijaksanaan dalam mengurus teknologi, sumber dan perkhidmatan asas bandar secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata, selepas 38 tahun bergelar bandar raya dan 133 tahun melalui evolusi pentadbiran tempatan, Ipoh kini berkembang sebagai bandar warisan, pusat ekonomi dan pelancongan yang menjadi kediaman kepada lebih 880,000 penduduk.
Menurutnya, MBI akan terus memperkukuh pendekatan ‘Back to Basic’ dengan memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan asas seperti pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan dan longkang, landskap bandar, lampu jalan serta kemudahan awam yang selesa dan selamat.
Pada masa sama, katanya, usaha memelihara warisan bandar akan terus diperkasa melalui pemuliharaan bangunan bersejarah, penghayatan budaya masyarakat pelbagai kaum serta pengukuhan sektor pelancongan yang berasaskan keunikan Ipoh.
Tambah beliau, pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik UNESCO turut membuka peluang baharu kepada pembangunan industri kreatif tempatan yang mampu merancakkan ekonomi serta meningkatkan daya tarikan bandar raya itu di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, sejarah pentadbiran Ipoh bermula dengan penubuhan Kinta Sanitary Board North pada tahun 1893 sebelum dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran Ipoh pada 31 Mei 1962. Bandar itu kemudiannya diisytiharkan sebagai bandar raya pada 27 Mei 1988 oleh Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.






