PUTRAJAYA – Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir dagangan hari ini ke paras tertinggi dalam 34 bulan, selepas China mengumumkan pakej rangsangan bertujuan mencergaskan kembali ekonominya.
Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.1550/1605 berbanding dolar AS, naik berbanding 4.2000/2060 ketika ditutup pada Isnin, menandakan kenaikan tahun setakat ini sebanyak 10.49 peratus.
Ini adalah paras tertinggi ringgit ketika ditutup sejak 11 November 2021, pada paras 4.1525/1545 ketika itu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, People’s Bank of China (PBOC) mengumumkan pelbagai langkah sokongan monetari, termasuk keperluan rizab bank dan penurunan kadar feadah, serta langkah untuk menyokong pasaran hartanah.
“Pengumuman itu sedikit sebanyak mengurangkan kebimbangan terhadap ekonomi China berikutan ia bergelut untuk mencapai sasaran pertumbuhan lima peratusnya,” katanya seperti dilapor Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia yang lebih rendah dari jangkaan semalam menunjukkan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasanya untuk baki 2024 dan berpotensi ke 2025.
BNM menunjukkan langkah berhemat dalam dasar monetarinya, dengan kekal berwaspada terhadap risiko inflasi, katanya.
“Pendirian berhati-hati ini menyumbang kepada peningkatan keyakinan, seperti yang dilihat dalam peningkatan nilai ringgit berbanding dolar AS baru-baru ini,” katanya.




