PUTRAJAYA – Ringgit mengekalkan momentum meningkat berbanding dolar AS semasa memulakan urus niaga hari ini, melepasi paras RM4.14 untuk kali pertama sejak November 2021, kata pakar ekonomi.
Keadaan ini disumbangkan data ekonomi tempatan lebih baik berbanding jangkaan dan penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Pada jam 8 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1490/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1605 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama, Indeks Keyakinan Pengguna Lembaga Persidangan AS susut melebihi jangkaan kepada 98.7 mata, memperlihatkan pengguna, yang membentuk dua pertiga daripada ekonomi AS, berhati-hati dengan prospek masa depan.
“Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut 0.49 peratus kepada 100.360 mata.
“Oleh itu, ringgit sewajarnya kekal positif berikutan penurunan kadar faedah selanjutnya di AS,” katanya.
Ringgit bagaimanapun diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding euro kepada 4.6427/6550 daripada 4.6274/6335 semasa ditutup pada Selasa, berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5704/5852 daripada 5.5590/5663, dan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9002/9083 daripada 2.8796/8836.






