
IPOH – Prestasi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Perak mencatat sejarah tersendiri apabila merekodkan pencapaian terbaik sejak sistem semester diperkenalkan pada tahun 2013, dengan semua calon layak dianugerahkan sijil.
Kejayaan itu didorong oleh peningkatan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri kepada 2.91 berbanding 2.85 pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 0.06 mata.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid berkata, pencapaian tersebut mencerminkan peningkatan berterusan kualiti pendidikan prauniversiti di negeri ini.
“Peratusan calon yang memperoleh lulus penuh turut meningkat kepada 99.15 peratus berbanding 99 peratus pada tahun 2024.
“Daripada 58 sekolah yang menawarkan STPM, sebanyak 44 sekolah berjaya mencatatkan lulus penuh 100 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 negeri Perak di JPN Perak, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, daripada 2,937 calon yang mendaftar, seramai 2,832 calon atau 96.42 peratus hadir menduduki peperiksaan bagi ketiga-tiga semester STPM 2025.
Menurutnya, seramai 116 calon atau 4.10 peratus berjaya memperoleh PNGK 4.00, dengan 10 calon daripada aliran Sains dan 106 calon daripada aliran Sains Sosial.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang turut meningkat apabila seramai 112 calon berjaya meraih 4A, manakala calon yang memperoleh 5A juga menunjukkan pertambahan berbanding tahun sebelumnya.
“Daripada 23 mata pelajaran yang ditawarkan, sebanyak 22 mata pelajaran mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 80 peratus. Hanya Matematik (T) merekodkan peratusan lulus penuh 66.27 peratus,” katanya.
Ahmad Faidzul berkata, mata pelajaran Tahfiz Al-Quran terus mengekalkan kecemerlangan dengan rekod lulus penuh 100 peratus selama empat tahun berturut-turut.
Selain itu, sebanyak 17 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi lulus penuh berbanding tahun 2024.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pencapaian calon Orang Asli turut menunjukkan perkembangan positif apabila tujuh daripada 17 calon berjaya memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas berbanding hanya dua calon pada tahun lalu.
Katanya, peningkatan itu membuktikan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memperluaskan akses pendidikan berkualiti serta memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.



