KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan kempen berunsur perkauman yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa usaha melaga-lagakan kaum bukan sahaja menjejaskan keharmonian negara, malah memberi kesan buruk kepada kesejahteraan rakyat.
“Sebab itu selalu saya rayu, jangan dengarlah kempen-kempen yang lagakan ini Melayu, ini parti Cina, (maka kita) lawan. Yang ruginya rakyat di bawah. Masalah (di bawah) ini luas, panjang (pelbagai). Siapa yang nak perjuangkan kalau masing-masing gaduh soal kaum?
“Sebab itu saya kata, naratif, wacana, dasar perjuangan rakyat ini mesti kita bawa perubahan. Kembalikan roh dan jiwa yang baik dalam kalangan manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal untuk penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Anwar berkata, pembinaan sebuah negara yang lebih maju dan inklusif dapat direalisasikan sekiranya kerajaan mempunyai dasar yang jelas, kepemimpinan kekal komited terhadap agenda pembaharuan dan rakyat memiliki kesedaran yang tinggi.
Menurut beliau, nilai kemanusiaan dan ihsan yang menjadi teras gagasan Malaysia MADANI perlu terus diperkukuh dalam kehidupan bermasyarakat.
“Malaysia yang lebih adil dan boleh menjamin kebahagiaan bagi semua. Sebab itu, dalam MADANI ini, soal kemanusiaan, soal ‘humanity’, ‘compassion’, ihsan, itu penting untuk kita hidupkan.
“Mari kita mengajak rakyat, saya lihat tengok India ada, Melayu ada, Cina ada di sini, ‘can we move on’, jaga sebagai manusia, jaga kebaikan kita,” katanya.
Terdahulu, Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia perlu kekal berpegang teguh pada prinsip masyarakat majmuk sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk politik berasaskan kebencian kaum.
Beliau berkata, meskipun arena politik negara sering menyaksikan perbezaan pendapat dan persaingan antara parti, kepelbagaian kaum serta budaya yang menjadi asas pembentukan negara tidak boleh dipersoalkan.



