Kerajaan tanggung kos penghantaran ubat kepada 80,000 pesakit setiap bulan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan membiayai sepenuhnya kos penghantaran ubat kepada kira-kira 80,000 pesakit setiap bulan menerusi Program Ubat Melalui Pos (UMP) yang dijadualkan bermula pada Julai ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM5.69 juta yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan MCMC.

Menurut beliau, langkah berkenaan bertujuan meringankan beban pesakit yang sebelum ini perlu menanggung sendiri kos penghantaran ubat.

“Langkah itu membolehkan pesakit yang layak di bawah program UMP tidak lagi perlu menanggung kos penghantaran ubat mereka sendiri.

“Kita harap menjelang bulan 7 (Julai) ini sudah boleh mula di setiap negeri. Jadi (kos penghantaran) tidak perlu lagi ditanggung oleh mana-mana pihak, terutama oleh para pesakit sendiri. Jadi akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKM dan MCMC bagi pelaksanaan inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA), di sini pada Isnin.

Fahmi berkata, KKM akan menentukan kelayakan pesakit yang boleh menyertai program UMP, manakala urusan penghantaran ubat akan dikendalikan oleh Pos Malaysia selaku pemegang lesen di bawah MCMC.

Mengulas mengenai PERSADA, beliau berkata, inisiatif itu dianggarkan bernilai RM650 juta bagi memperkukuh agenda pendigitalan sistem kesihatan negara.

Katanya, pelaksanaan PERSADA akan dibahagikan kepada dua fasa dengan fasa pertama melibatkan kos sebanyak RM74 juta.

Menurut beliau, pembiayaan program itu akan diuruskan oleh MCMC menerusi Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan diperkasa sebagai hab saringan awal kesihatan dan telekesihatan, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman yang mempunyai akses terhad kepada kemudahan kesihatan.

Beliau berkata, usaha itu yang telah dimulakan sejak 2023 akan diperluaskan bagi membolehkan penduduk menjalani pemeriksaan asas seperti ujian paras gula dalam darah dan tekanan darah tanpa perlu ke hospital atau klinik yang terletak jauh dari kediaman mereka.

Sebagai contoh katanya, pusat NADI di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah kini dimanfaatkan untuk menyokong perkhidmatan telekesihatan dengan menghubungkan penduduk setempat kepada doktor dan pakar di lokasi lain.

Fahmi berkata, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan di beberapa pusat NADI, termasuk bagi tujuan penilaian awal kesihatan menerusi pemeriksaan retina.

“Kalau capaian internet di klinik kesihatan sukar, kita terus gunakan NADI sebagai pengkalan untuk saringan dan telekesihatan,” katanya.

Related Posts

Tidak rasmi: BN-PN tawan Negeri Sembilan, Anthony dan Tok Min tewas

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) secara tidak rasmi berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri Sembilan bersama Perikatan Nasional (PN) apabila berjaya memperoleh dua pertiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sembilan (PRN) Negeri…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tidak rasmi: BN-PN tawan Negeri Sembilan, Anthony dan Tok Min tewas

Tidak rasmi: BN-PN tawan Negeri Sembilan, Anthony dan Tok Min tewas

Tidak rasmi: BN mendahului 16 kerusi PRN Negeri Sembilan

Tidak rasmi: BN mendahului 16 kerusi PRN Negeri Sembilan

Polis pertingkat kawalan keselamatan di istana dan pejabat kerajaan

Polis pertingkat kawalan keselamatan di istana dan pejabat kerajaan

Sistem MyNIISe di Sungai Tujoh dilancarkan, kekalkan pilihan pemeriksaan pasport manual

Sistem MyNIISe di Sungai Tujoh dilancarkan, kekalkan pilihan pemeriksaan pasport manual

Betong sedia muncul hab pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak

Betong sedia muncul hab pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak

Kerjasama erat Persekutuan, negeri pacu Sabah terima 40 peratus Bahagian FLNG

Kerjasama erat Persekutuan, negeri pacu Sabah terima 40 peratus Bahagian FLNG