
KLUANG – Polis hanya menerima dua laporan sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota dari 14 September lalu sehingga semalam.
Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, namun hanya satu sahaja kertas siasatan telah dibuka untuk disiasat.
Katanya, kesalahan terbabit bagaimanapun disiasat dibawah Syeksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Syeksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Satu siasatan itu melibatkan dakwaan wujud elemen sogokan untuk menarik undi seperti yang ditularkan menerusi media sosial.
“Siasatan mengenai kes terbabit sedang berjalan dan kita juga perlu mendapatkan maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menentukan portal terbabit kepunyaan siapa.
“Manakala, satu laporan lagi tiada kesalahan,” katanya pada sidang media yang diadakan selepas meninjau proses pengundian awal dalam kalangan anggota polis di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis, hari ini.
Dalam pada itu katanya, polis turut menerima sebanyak 96 permohonan permit untuk kempen PRK DUN Mahkota iaitu masing-masing 27 permit untuk mengadakan ceramah, siar raya (42) dan walkabout (27) dengan kesemuanya diberikan kelulusan.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
DUN Mahkota yang terletak dalam Parlimen Kluang mempunyai keseluruhan 66,318 pengundi dengan 20 pusat mengundi akan dibuka pada Sabtu ini.





