
KLUANG – Seramai 810 pegawai dan anggota polis telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota berjalan lancar.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, bagaimanapun lebih 50 peratus pengundi awal dalam kalangan anggota polis telah keluar menjalankan tanggungjawab di Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
“Setakat jam ini, seramai 217 daripada 383 orang anggota iaitu lebih 50 peratus pengundi awal dalam kalangan anggota polis telah keluar menjalankan tanggungjawab memilih dan proses itu juga berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
“Saya menasihatkan kepada semua pengundi awal hari ini supaya keluar lebih awal memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu (hujan waktu petang),” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan empat lagi pengundi pos dalam kalangan 18 anggota polis yang masih belum menghantar kertas undi masing-masing berbuat demikian sebelum pukul 4 petang pada 27 September ini.







