
TAWAU – Mayat seorang wanita OKU ditemukan terapung di sebuah kolam ikan di kawasan Jalan Sin Onn Tiku, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu kira-kira pukul 9.05 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi.
“Pemeriksaan di tempat kejadian serta ke atas tubuh badan mangsa tidak menemui sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa berumur 29 tahun itu sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya pada 14 Jun lalu selepas keluar dari rumah,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurut Jasmin, hasil bedah siasat turut mendapati tiada tanda-tanda kecederaan atau unsur jenayah pada tubuh badan mangsa.
Bagaimanapun katanya, punca kematian masih belum dapat dipastikan dan sedang menunggu keputusan ujian makmal lanjut (Pending Laboratory Investigation).
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan laporan kematian.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa,” ujarnya.







