Ranau hidupkan pelancongan lestari, Sabah Tea jadi tumpuan lawatan STA

RANAU – Suasana dingin tanah tinggi Ranau dengan kabus tipis yang menyelubungi lereng pergunungan menjadi latar kepada lawatan Sabah Tourist Association (STA) ke beberapa lokasi pelancongan di daerah ini, yang menyaksikan sendiri perkembangan sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pengalaman.

Di celah kehijauan ladang teh yang terbentang luas, Sabah Tea menjadi antara lokasi yang paling mencuri perhatian rombongan, lebih-lebih lagi selepas menerima pembaharuan pengiktirafan Petunjuk Geografi (GI) yang mengangkat nilai serta identiti produk tempatan itu di peringkat nasional.

Lawatan berkenaan bukan sekadar program rasmi, sebaliknya turut menjadi ruang pertemuan tidak formal antara penggiat industri bagi melihat sendiri bagaimana produk pelancongan di Ranau terus berkembang dengan pendekatan lebih berasaskan pengalaman (experience-based tourism).

Turun padang

Presiden STA, Melanie Chu berkata, Ranau mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu terus diketengahkan melalui kerjasama erat antara pengusaha pelancongan dan pemain industri.

“Bila kita turun sendiri ke lapangan, kita dapat lihat dengan jelas potensi sebenar yang ada.

“Ranau ini unik, bukan sahaja kerana alam semula jadinya, tetapi juga kerana produk seperti Sabah Tea yang sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan itu sendiri.

“Pengiktirafan GI ini bukan sekadar status, tetapi satu pengesahan terhadap nilai dan identiti produk tempatan yang memberi impak kepada industri pelancongan secara keseluruhan,” ujarnya.

Pada lawatan tersebut, rombongan turut diberikan taklimat mengenai perkembangan semasa termasuk penambahbaikan kemudahan dan aktiviti baharu yang diperkenalkan kepada pengunjung.

Kreatifiviti pelbagai produk pelancongan

Sementara itu, Pengurus Sabah Tea, Martin Kong berkata, perubahan dalam trend pelancongan memerlukan pengusaha sentiasa kreatif dalam menambah baik pengalaman pelawat.

“Sekarang pelancong tidak hanya datang untuk melihat, tetapi untuk merasai pengalaman.

“Jadi kita perlu sentiasa tambah baik apa yang kita tawarkan, sama ada dari segi aktiviti, kemudahan atau pengalaman keseluruhan di sini.

“Dalam masa sama, pengiktirafan GI yang diterima sebelum ini sangat bermakna kerana ia mengesahkan Sabah Tea sebagai produk yang memang lahir daripada identiti tempat ini sendiri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kini pelancong dan penduduk tempatan boleh menikmati aktiviti riadah sukan pickleball di resort berkenaan susulan pembinaan empat buah gelanggang sukan tersebut yang telah siap sejak Januari lepas.

Merakam pengalaman

Selain menikmati pemandangan ladang teh yang menghijau, rombongan STA turut dibawa meninjau kawasan ladang rusa serta beberapa kemudahan pelancongan lain yang sedang diperkasakan sebagai nilai tambah kepada pengalaman pengunjung.

Para peserta turut mengambil masa sejenak untuk merakam pemandangan sekitar, sambil menikmati suasana sejuk yang menjadi antara tarikan utama kawasan tanah tinggi itu.

Lawatan kemudian diteruskan ke Perkasa Hotel Ranau yang kini menjalani kerja-kerja naik taraf bilik penginapan, sebagai sebahagian usaha meningkatkan keselesaan pengunjung serta memperkukuh sektor hospitaliti di kawasan berkenaan.

Pengiktirafan Sijil Pembaharuan Petunjuk Geografi (GI)

Terdahulu, kehadiran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ke Sabah Tea sempena Program Jelajah Harta Intelek Sabah turut memberi dimensi tambahan kepada perkembangan produk berkenaan apabila beliau menyaksikan penyerahan Sijil Pembaharuan Petunjuk Geografi (GI).

Pengiktirafan itu mengukuhkan lagi kedudukan Sabah Tea sebagai antara produk beridentiti tempatan yang mempunyai nilai geografi dan warisan tersendiri, dengan Malaysia merekodkan 130 produk GI setakat April 2026, termasuk 31 dari Sabah.

Related Posts

Legasi OKT Lawai Melayong: Kisah ‘Lipan Baram’ dan Resolusi Damai Bumi Kenyalang

PESTA sukan air Baram Regatta lazimnya diraikan dengan penuh kemeriahan dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak. Namun, di sebalik sorakan dan perlumbaan perahu yang mendebarkan, masih ramai…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Niti Daun Mukah 2026: Hanifah curi tumpuan gayakan busana Bidayuh

MUKAH – Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib mencuri tumpuan apabila tampil mengenakan pakaian tradisional masyarakat Bidayuh sempena Program Niti Daun Peringkat Daerah Mukah 2026 pada Sabtu. Kehadiran Ahli…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kes displin, buli di sekolah perlu ditangani segera – PMX

Kes displin, buli di sekolah perlu ditangani segera – PMX

Pas punca tercetusnya Islamofobia – Amanah

Pas punca tercetusnya Islamofobia – Amanah

Bot kargo ditahan, tiga kru Indonesia disyaki salah guna PLKS

Bot kargo ditahan, tiga kru Indonesia disyaki salah guna PLKS

Inflasi Malaysia sedikit menyederhana kepada 1.9 peratus pada Jun

Inflasi Malaysia sedikit menyederhana kepada 1.9 peratus pada Jun

Penyokong elakkan provokasi, calon diseru hadir awal – SPR

Penyokong elakkan provokasi, calon diseru hadir awal – SPR

Puad dakwa MCA hipokrit, ingatkan Pas pernah tawar DAP guna lambang bulan

Puad dakwa MCA hipokrit, ingatkan Pas pernah tawar DAP guna lambang bulan