
KEBERSAMAAN jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah tanda kerjasama erat dan keutuhan Kerajaan Perpaduan.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berpendapat, minggu pertama kempen kali ini berjalan dengan amat baik disamping kedua-dua jentera ini bergerak aktif berbanding jentera Perikatan Nasional (PN) yang kelihatan pasif.
Kerjasama ini membawa kepada pengaturan program yang berkesan bagi mendekati para pengundi di Mahkota dan sekaligus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak.
“Jika ditinjau minggu pertama kempen di DUN Mahkota ini, nampak perbezaan ketara dari segi keaktifannya atau tidak jentera kempen.
“Jentera kempen BN dan PH dikatakan bersama-sama bergerak mengikut kawasan ke kawasan masing-masing tetapi mereka bekerjasama.
“Kedua gabungan ini kelihatan berusaha bersungguh-sungguh, begitu aktif berkempen. Berbanding dengan Perikatan Nasional, dia agak perlahan sedikit,” katanya dalam kenyataan kepada The Malaysia Press pada Isnin.
Sementara itu, Azmi berkata, semangat dan ketelusan jentera parti BN-PH mendahului jentera PN yang agak ‘lesu’ memberi gambaran awal kemenangan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berbanding calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.
Katanya, meskipun kemenangan dijangka berpihak kepada BN berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, jentera BN-PH bijak memainkan strategi dalam memenangi hati penduduk setempat di Mahkota.
“Jadi ini nampak kesungguhan jentera BN-PH mempamerkan bagaimana keyakinan sama ada mereka boleh menang atau pun tidak jadi.
“Saya boleh anggap lesunya PN, bahawa sukarnya mereka untuk merampas kerusi Mahkota. Dan bagi pihak BN-PH, mereka tahu mereka boleh mengekalkan kerusi ini tetapi bagaimana untuk menang cara bergaya iaitu majoritinya melebihi daripada apa yang dimiliki semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lepas.
“Jadi, tambahan kalau lihat minggu pertama sahaja dari segi kempen, semangat dan gerak kerja. Keyakinan itu memang ada pada jentera kempen BN berbanding PN,” katanya.




