EU kutuk keras tindakan tentera Zionis tembak mati bayi tujuh bulan

KESATUAN Eropah (EU) pada Khamis mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam seorang tentera Israel yang menembak mati seorang bayi lelaki Palestin berusia tujuh bulan di Tebing Barat yang diduduki, selain mendesak akauntabiliti serta perlindungan menyeluruh diberikan kepada orang awam.

Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Anouar El Anouni, menyatakan pendirian tegas blok berkenaan sebagai maklum balas kepada pertanyaan agensi berita Anadolu semasa sesi taklimat Suruhanjaya di Brussels.

“Bagi pihak EU, saya mengutuk sekeras-kerasnya insiden pembunuhan seorang bayi berusia tujuh bulan oleh tentera Israel di Tebing Barat pada Jumaat, 5 Jun lalu,” katanya, lapor Anadolu.

El Anouni menegaskan, EU mendesak pihak Israel agar menjalankan “siasatan yang bebas, telus dan menyeluruh” dengan kadar segera berhubung insiden terbabit bagi memastikan keadilan serta akauntabiliti ditegakkan.

Beliau turut menggesa kerajaan Israel supaya mematuhi segala obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi hak serta nyawa penduduk Palestin yang menetap di wilayah diduduki itu.

“Tahap keganasan yang kita saksikan di Gaza dan Tebing Barat ketika ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sebarang bentuk keganasan terhadap kanak-kanak, termasuk pembunuhan dan kecederaan kekal, mestilah dihentikan serta-merta. Kami mengulangi peri pentingnya jaminan keselamatan dan perlindungan kepada orang awam pada setiap masa selaras dengan undang-undang antarabangsa,” jelas beliau.

Mengulas mengenai kritikan pelbagai pihak terhadap tindak balas EU yang didakwa perlahan dalam isu Palestin, El Anouni mempertahankan peranan blok berkenaan dan menegaskan EU kekal sebagai antara penyokong kuat hak rakyat Palestin serta formula penyelesaian dua negara.

Beliau menarik perhatian mengenai komitmen bantuan kemanusiaan, kewangan serta politik oleh EU, yang mana blok itu telah menyalurkan hampir €675 juta (RM3.17 bilion) bantuan kemanusiaan sejak Oktober 2023. Tambahnya, lebih 5,600 tan metrik bantuan telah dihantar melalui 85 penerbangan koridor udara kemanusiaan setakat ini.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Palestin, bayi malang berkenaan terkorban manakala kedua-dua ibu bapanya cedera parah selepas tentera Israel melepaskan tembakan rambang ke arah kenderaan keluarga terbabit di kawasan Tel Rumeida, selatan Tebing Barat.

Insiden berdarah itu berlaku ketika mangsa, Abu Haikal, dalam perjalanan bersama keluarganya menuju ke rumah ibunya di pusat bandar Hebron.

Tentera rejim dilaporkan melepaskan tembakan menggunakan peluru hidup, menyebabkan bapa bayi berkenaan cedera di bahagian tangan. Peluru yang sama turut mencederakan ibunya sebelum menembus tepat pada bahagian rahang anak kecil mereka, sekali gus meragut nyawa mangsa. Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran.

Wilayah Tebing Barat dilaporkan terus berdepan dengan peningkatan siri serbuan ketenteraan, tangkapan besar-besaran serta perluasan penempatan haram oleh Israel sejak bermulanya perang berskala besar di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023.

Related Posts

Rakyat Malaysia dinasihat elak lokasi demonstrasi

JAKARTA – Rakyat Malaysia di Jakarta dinasihatkan supaya mengelakkan lokasi tumpuan demonstrasi di Jakarta Pusat pada Jumaat serta mengikuti perkembangan terkini daripada pihak berkuasa tempatan, menurut Kedutaan Besar Malaysia di…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PBB dedah serangan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat catat rekod tertinggi

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis mengeluarkan amaran keras bahawa siri serangan oleh pendatang haram Yahudi terhadap warga Palestin di Tebing Barat yang diduduki kini dikesan berlaku pada kadar “paling…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Mandat Kerajaan Perpaduan penting demi masa depan Negeri Sembilan – Anwar

Mandat Kerajaan Perpaduan penting demi masa depan Negeri Sembilan – Anwar

Projek balak, tanah mana yang Tok Min ‘sauk’ sampai dijatuhkan – Anwar

Projek balak, tanah mana yang Tok Min ‘sauk’ sampai dijatuhkan – Anwar

Kasih kepada rakyat, amanah untuk negara: Mesej politik kemanusiaan PMX

Kasih kepada rakyat, amanah untuk negara: Mesej politik kemanusiaan PMX

Aminuddin seru rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi pada PRN

Aminuddin seru rakyat Negeri Sembilan keluar mengundi pada PRN

KPDN perluas Program Pasar Patuh, Pasar Komuniti Stutong jadi model pematuhan

KPDN perluas Program Pasar Patuh, Pasar Komuniti Stutong jadi model pematuhan

Sibu tuan rumah MQNKSS Peringkat Sarawak 2026, cungkil bakat kesenian Islam pelajar Sarawak

Sibu tuan rumah MQNKSS Peringkat Sarawak 2026, cungkil bakat kesenian Islam pelajar Sarawak