
KUCHING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mula memperluaskan Program Pasar Patuh (3P) secara berperingkat ke daerah-daerah utama di seluruh negara pada tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Pencegahan KPDN, Aris Mamat berkata, peluasan program tersebut merupakan salah satu inisiatif kementerian bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan, sekali gus memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif, berintegriti dan telus.
Bagi mencapai matlamat tersebut, beliau menjelaskan bahawa KPDN amat menekankan pendekatan kawalan kendiri dalam kalangan peniaga agar pematuhan terhadap undang-undang perdagangan dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan.
“Sepanjang lawatan pada hari ini (Jumaat), saya berpuas hati dengan tahap pematuhan Pasar Komuniti Stutong apabila didapati semua peniaga mematuhi perundangan yang kita laksanakan.
Saya percaya objektif Program Pasar Patuh (3P) dapat dicapai sekiranya semua pasar mematuhi garis panduan perniagaan seperti yang dibuat oleh Pasar Komuniti Stutong,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, beliau bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng turun padang meninjau pasar berkenaan berserta sesi penyerahan pelekat Pasar Patuh kepada para peniaga terlibat.
Untuk rekod, Program 3P telah dilancarkan pada 29 Oktober 2025 yang pada awalnya hanya melibatkan satu pasar awam bagi setiap negeri sebelum ia mula diperluaskan pada tahun ini.
Program ini diwujudkan bagi menjadikan pasar awam di seluruh negara sebagai model pematuhan yang merangkumi aspek penandaan harga dengan jelas, penggunaan alat timbang dan sukat yang ditentusahkan, perniagaan secara jujur dan beretika, serta mematuhi undang-undang persekitaran yang bersih.
Dalam pada itu, Aris turut menyeru orang ramai untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak kerajaan bagi menyalurkan sebarang maklumat berhubung salah laku aktiviti perniagaan oleh pengedar mahupun peniaga.
Bagi memudahkan proses tersebut, sebarang aduan boleh disalurkan secara terus menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-848 8000, e-mel kepada e-aduan@kpdn.gov.my, Pusat Panggilan KPDN di 1-800-886-800 atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.





