
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan di negeri ini atas komitmen dan dedikasi mereka dalam memajukan sektor pendidikan.
Beliau berkata, jasa dan bakti guru amat dihargai serta memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.
“Pertama, saya ingin mengucapkan tahniah dan juga penghargaan kepada semua warga pendidikan di Sabah yang diketuai oleh Datuk Pengarah Pendidikan.
“Dalam majlis apresiasi ini menunjukkan bahawa jasa dan bakti guru itu amat dihargai dan begitu penting bagi pembangunan masyarakat dan juga negara kita,” katanya kepada media selepas menerima Anugerah Tokoh Kemakmuran Pendidikan Negeri Sabah pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, pada Khamis.
Menurut Hajiji, peningkatan pencapaian keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu membuktikan peranan besar dan cemerlang yang dimainkan oleh para guru dalam memastikan kecemerlangan pendidikan di Sabah.
“Tadi disebut oleh Datuk Pengarah bahawa pencapaian kelulusan ataupun keputusan peperiksaan SPM tahun lepas pun menunjukkan peningkatan yang amat ketara dan ini amat baik bagi kita di Sabah dan ini menunjukkan bahawa peranan guru-guru itu cukup besar dan cemerlang.
“Tahniah kepada mereka semua,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong, Pengerusi Hawa Desa Malaysia, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan dan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin.







