
SEMPORNA – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara rasmi membubarkan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) pada 10 Jun, menamatkan perkhidmatannya selepas hampir sedekad beroperasi sebagai pangkalan hadapan di perairan Sabah Timur.
Menurut kenyataan media TLDM pada Rabu, PL TSR pada asalnya merupakan sebuah platform Mobile Offshore Production Unit dikenali sebagai Hercules 259 yang dibina di Houston, Amerika Syarikat pada 1973.
“Platform itu kemudiannya ditransformasikan menjadi pangkalan laut hadapan menerusi kerjasama strategik antara TLDM, PETRONAS dan Sapura Kencana bagi memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di kawasan berkepentingan tinggi di Sabah Timur.
“PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 sebelum dirasmikan pada 28 Mei 2016, ia dinamakan sempena Allahyarhamah Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, isteri kepada Perdana Menteri pertama Malaysia,” kongsi kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, sepanjang tempoh perkhidmatannya, PL TSR berfungsi sebagai platform strategik yang menyokong operasi keselamatan maritim, pemantauan kawasan berkepentingan serta memperkukuhkan kehadiran pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
“Kedudukan pangkalan yang strategik turut membolehkan tindak balas lebih pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan di perairan Sabah Timur.
“Walaupun operasinya ditamatkan, fungsi dan peranan PL TSR akan diambil alih oleh Kapal Auksiliari Tun Azizan (KA TAZ) bagi memastikan kesinambungan kehadiran serta kesiapsiagaan operasi di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu lagi, TLDM akan terus memperkukuhkan keupayaan operasi selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan landskap keselamatan maritim bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara terus terpelihara.






