Krisis Pas-Bersatu boleh jejas sokongan PN pada PRN Johor, Negeri Sembilan

KRISIS yang melanda Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) berpotensi menghakis keyakinan pengundi, khususnya dalam kalangan kelas pertengahan, pengundi kritis dan kelompok progresif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, perkembangan itu boleh memberi kesan kepada sokongan terhadap PN kerana pengundi lazimnya menilai keupayaan sesebuah parti atau gabungan politik berdasarkan kemampuan mengurus kestabilan dan menyelesaikan konflik dalaman.

Beliau berkata, dalam pertimbangan sebahagian pengundi, kegagalan mengurus krisis dalaman parti yang berskala kecil boleh menimbulkan keraguan terhadap keupayaan gabungan berkenaan menangani cabaran yang lebih besar sekiranya diberi mandat untuk mentadbir negara.

“Pada pertimbangan pengundi, jika krisis dalaman parti yang kecil pun gagal diuruskan, bagaimana mereka mahu menguruskan krisis yang lebih besar sekiranya diberi kepercayaan mentadbir negara.

“Begitu juga apabila dilihat bergelut untuk mengekalkan kestabilan dalam parti sendiri, timbul persoalan bagaimana mereka mahu menstabilkan keadaan negara jika diberikan mandat oleh pengundi,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Mohd Yusri berkata, persepsi sedemikian berpotensi mempengaruhi corak sokongan pengundi terhadap PN pada pilihan raya akan datang, terutama dalam kalangan mereka yang meletakkan aspek kestabilan politik sebagai antara pertimbangan utama.

Menurutnya, situasi itu juga boleh menjadi cabaran kepada PN dalam usaha mengekalkan sokongan sedia ada serta menarik pengundi baharu di negeri-negeri yang bakal menghadapi pilihan raya.

Pada masa sama, beliau berkata, krisis berkenaan secara tidak langsung memberi sedikit kelebihan kepada parti lain yang turut bersaing mendapatkan sokongan segmen pengundi Melayu, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Perkembangan itu turut membuka ruang kepada parti-parti lain yang bersaing merebut sokongan segmen pengundi Melayu,” katanya.

Jelas beliau, sejauh mana krisis itu memberi kesan kepada keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan bergantung kepada kemampuan kepimpinan Pas dan Bersatu mengurus serta menyelesaikan isu yang timbul dalam tempoh terdekat.

Pada Isnin, Pas secara rasmi menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung malam ini selepas mengambil kira laporan, kajian serta penilaian semasa berhubung hubungan politik antara kedua-dua parti.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu yang meneliti aspek dasar, hukum dan maslahah berkaitan kerjasama politik Pas berlandaskan prinsip penyatuan ummah.

Dalam pada itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa dukacita terhadap keputusan Pas menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti, namun menegaskan komitmennya untuk terus kekal dalam PN sebagai parti komponen gabungan itu.

Muhyiddin berkata, hubungan kerjasama yang terjalin antara Bersatu dan Pas selama ini dibina atas semangat perjuangan bersama serta persefahaman yang erat demi memperkukuh agenda politik dan kepentingan rakyat.

Related Posts

Perpecahan Pas-Bersatu bukti politik Islam tidak boleh disempitkan kepada label parti

KUALA TERENGGANU – Episod perpecahan hubungan politik antara Pas dan Bersatu dilihat membuka ruang kepada rakyat untuk menilai semula pendekatan politik berasaskan slogan agama yang sekian lama menjadi teras kempen…

Lebih lanjut

teruskan membaca
UMNO kekal sokong Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan parti itu kekal mendokong Kerajaan Perpaduan sehingga Pilihan Raya akan datang. Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata antara ketetapan dalam Mesyuarat Majlis Kerja…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

AI bantu usahawan luar bandar Sabah tingkatkan perniagaan

AI bantu usahawan luar bandar Sabah tingkatkan perniagaan

Kerja baik pulih paip utama dipergiat, bekalan air Miri dijangka pulih segera

Kerja baik pulih paip utama dipergiat, bekalan air Miri dijangka pulih segera

JKOM perlu jadi jambatan hubung dasar kerajaan, realiti rakyat – KSN

JKOM perlu jadi jambatan hubung dasar kerajaan, realiti rakyat – KSN

Tolak sentimen perkauman kunci utama keharmonian, kestabilan Sarawak – Dr Annuar

Tolak sentimen perkauman kunci utama keharmonian, kestabilan Sarawak – Dr Annuar

IGMS dipuji wujudkan platform rancang hala tuju Melayu Sarawak

IGMS dipuji wujudkan platform rancang hala tuju Melayu Sarawak

Kuasai bahasa Inggeris demi pasaran kerja global, Sarawak tidak pinggir bahasa kebangsaan

Kuasai bahasa Inggeris demi pasaran kerja global, Sarawak tidak pinggir bahasa kebangsaan