
TAWAU – Petisyen yang menggesa agar pemegang dokumen IMM13 iaitu pelawat khas pelarian perang dari selatan Filipina di Sabah agar dihantar pulang ke negara asal perlu dikaji secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu perlu mengambil kira aspek sejarah, perundangan serta dasar antarabangsa.
“Perkara ini perlu diberikan kuasa kepada pihak KDN serta Kementerian Luar untuk mengkaji.
“Saya tidak mahu membuat komen awal, namun saya berharap supaya perkara ini dikaji dengan betul-betul dan memahami sejarah IMM13 itu sendiri,” kata kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Insfrastruktur Utama Pembangunan Tawau dan Kalabakan di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Sepanggar itu, petisyen tersebut diambil maklum, namun sebarang tindakan yang akan dilaksanakan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Perlembagaan, undang-undang negara serta dasar antarabangsa.
Untuk rekod, baru-baru ini tular di media sosial berhubung tindakan rakyat Sabah menandatangani petisyen hantar pulang pemegang IMM13 yang didakwa menyumbang kepada masalah sosial, ekonomi dan keselamatan negeri.
Tinjauan Petisyen di laman web change.org berkenaan kini mencapai 38,528 tanda tangan selepas dibuat sejak 5 Jun lepas.
Petisyen itu dipercayai dibuat berikutan justifikasi penganjur mendakwa tempoh perlindungan kemanusiaan selama berpuluh tahun kepada pemegang pas itu sewajarnya perlu diakhiri demi menjaga integriti undang-undang Malaysia dan Sabah.

Dalam perkembangan berasingan, Mustapha yang juga Pengerusi PH Sabah berkata, isu laporan media berhubung penggunaan logo GRS yang didakwa berkemungkinan akan digunakan semasa PRU16 akan datang itu bersifat ‘misquoted’.
Katanya, perkara tersebut timbul susulan respons awal mengenai kemungkinan mengadakan kerjasama dengan GRS.
“Isu seperti penggunaan logo sebenarnya belum lagi dibincangkan secara rasmi, perkara berkaitan pembahagian kerusi juga masih belum disentuh.
“Agak pramatang untuk membuat keputusan penting pada ketika ini kerana ia melibatkan keputusan di peringkat nasional.
“Walau bagaimanapun, kemungkinan kerjasama tidak ditolak dan bergantung kepada perkembangan politik semasa,” ujarnya.



