KUALA LUMPUR – Semangat kerjasama dan setiakawan dalam Kerajaan MADANI terus menjadi asas penting dalam pentadbiran negara meskipun parti-parti yang membentuk kerajaan mempunyai kekuatan politik yang berbeza di sesuatu kawasan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hannah Yeoh berkata, di Kuala Lumpur, UMNO hanya mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa yang diwakili Datuk Seri Johari Abdul Ghani, manakala Pakatan Harapan memiliki 10 kerusi Parlimen.
Menurut beliau, walaupun Johari merupakan satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di ibu negara, urusan pentadbiran Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara bersama tanpa sebarang pengasingan antara wakil rakyat kerajaan.
“Kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp yang menghimpunkan semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur. Tiada pengasingan,” katanya melalui perkongsian di Facebook.
Hannah berkata, beliau sering mendapatkan pandangan Johari dalam pelbagai perkara berkaitan Wilayah Persekutuan termasuk pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampong Bharu serta pelantikan ahli-ahli lembaga di Wilayah Persekutuan.
Beliau menjelaskan bahawa pengalaman dan pandangan berbeza yang dibawa oleh rakan-rakan dalam kerajaan sering membantu menghasilkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan rakyat.
“Daripada pengalaman beliau, saya belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya.
Menurut Hannah, kekuatan Kerajaan MADANI terletak pada keupayaannya membina kerjasama antara parti-parti yang berbeza demi mencapai matlamat bersama.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP tidak mendominasi pentadbiran kerajaan, sebaliknya sentiasa mengambil kira pandangan dan panduan daripada rakan-rakan dalam gabungan kerajaan.
“Bagi saya, itulah setiakawan. Itulah hormat,” katanya.
Hannah menambah bahawa kekuatan seseorang pemimpin tidak seharusnya diukur berdasarkan siapa yang ditolak atau diketepikan, tetapi melalui keupayaan untuk bekerjasama dengan pihak yang mempunyai pandangan berbeza demi kepentingan rakyat.
Menurut beliau, rakyat akhirnya akan menilai kemampuan pemimpin dan kerajaan dalam menyelesaikan masalah mereka, bukan berdasarkan perbezaan politik yang wujud.
“Pada akhirnya, rakyat tidak menilai sejauh mana kita berbeza. Rakyat menilai sama ada kita mampu bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah mereka dan semuanya bermula dengan kesediaan untuk duduk semeja,” katanya.




