Pemisahan kuasa AG dan PP jangan sekadar kompromi politik, harus ada ketelusan

PUTRAJAYA – Pemisahan kuasa Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) diharapkan bukan sekadar `cakap-cakap’ atau berlandaskan kompromi politik, namun perlu dilaksanakan telus, berakauntabiliti dan dilindungi.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Anand Raj berpandangan, pelantikan PP harus dibuat menurut nasihat perlembagaan susulan kuasa yang diberikan kepada golongan tersebut.

Tegas beliau, Badan Peguam telah lama mencadangkan pengasingan pejabat AG dan PP sebagai pembaharuan institusi yang penting untuk mengukuhkan kebebasan pendakwaan.

“PP menjalankan kuasa besar yang memberi kesan kepada kebebasan individu, pentadbiran keadilan dan keyakinan awam terhadap institusi undang-undang. Rang Undang-Undang berkaitan pengasingan AG-PP dijadual dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 22 Jun ini.

“Sehubungan itu, proses bagi mengenal pasti, menilai dan melantik pemegang jawatan, mesti diberi perlindungan yang ketat,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Anad berkata, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 tersebut mewakili satu peristiwa penting dalam perjalanan pembaharuan yang sudah lama tertangguh.

Namun beliau memaklumkan, Badan Peguam bimbang bahawa pindaan yang dicadangkan mungkin tidak mencapai aspirasi sebenar untuk mengukuhkan kebebasan pendakwaan.

“Fungsi PP tidak boleh dipolitikkan. Pelantikan PP harus dibuat menurut nasihat perlembagaan (dalam pengertian Perkara 40(1A) Perlembagaan Persekutuan).

“Ia selaras dengan rangka kerja perlembagaan yang mengawal pelantikan pemegang jawatan utama lain yang berkaitan dengan pentadbiran keadilan, termasuk anggota badan kehakiman dan Peguam Negara,” katanya.

Perkara 40(1A) menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) wajib bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri dalam urusan pentadbiran.
Dalam pada itu, Anand berkata,  Ahli Parlimen mesti diberi masa yang mencukupi untuk menyemak, menganalisis dan membahaskan RUU secara komprehensif sebelum dipanggil untuk mengundi.

Menurut beliau, Badan Peguam telah terlibat secara konstruktif dan memberikan maklum balas yang komprehensif mengenai cadangan pembaharuan, meneliti bentuk akhir RUU dan mana-mana perundangan yang disertakan sebaik sahaja ia tersedia kepada umum.

“Pemisahan pejabat AG dan PP tidak dapat direalisasikan sepenuhnya melalui pindaan perlembagaan semata-mata, sebaliknya berlandaskan undang-undang seperti Akta Pejabat Pendakwa Raya (OPPA).

“Akta itu perlu bagi mengoperasikan pejabat baharu, mentakrifkan kuasa dan tanggungjawabnya, mewujudkan perlantikan yang jelas dan mekanisme kebertanggungjawaban yang sewajarnya.

“Pada masa sama, ia turut mentafsir kelayakan jawatan, kod kelakuan dan standard etika, kewajipan pelaporan, peruntukan yang mengehadkan kuasa budi bicara PP untuk menghentikan prosiding jenayah, dan perlindungan institusi untuk mengekalkan kebebasan pendakwaan,” katanya.

Tambahnya, Badan Peguam turut bimbang bahawa sebarang pembaharuan yang dilakukan secara tergesa-gesa, tanpa mengandungi perlindungan yang betul dan mencukupi, berisiko menghasilkan keputusan yang lebih buruk daripada status quo.

“Sehubungan itu, Badan Peguam menyeru penggubal undang-undang menjalankan fungsi Parlimen dengan penuh tanggungjawab untuk memastikan bahawa pelaksanaan pembaharuan ini menghasilkan kualiti perundangan yang tertinggi, dan bukan hanya berakhir sebagai satu lagi kompromi politik,” katanya.

Rang Undang-undang itu mula-mula dibentangkan di Parlimen pada 23 Februari lalu, dibahaskan semula pada 3 Mac dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pertimbangan selanjutnya dan penglibatan pihak berkepentingan.

Related Posts

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bermesyuarat esok – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada Jumaat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh. Beliau mengesahkan mesyuarat itu dijadual berlangsung pada…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu kesihatan mental perlu dipandang serius sebelum tangisan bertukar tragedi

KUALA LUMPUR – Keperluan agar isu kesihatan mental generasi muda diberi perhatian lebih awal sebelum tekanan yang dihadapi mereka membawa kepada tragedi. Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Anwar mulakan lawatan kerja dua hari ke Sabah

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Perdana Menteri disaran jawab dakwaan, isu integriti kerajaan

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Semangat PAU 2026 jadi pencetus kekuatan jentera parti hadapi pilihan raya

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Akmal Saleh sedia ‘berperang’ lawan PH di PRN Melaka 

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wanita perlu diberi ruang lebih besar bantu UMNO bangkit semula

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO

Wakil rakyat tidak jalankan tugas jejas kredibiliti parti – Pemuda UMNO