PUTRAJAYA – Tindakan Undang Yang Empat menggunakan kuasa memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 secara jelas bertentangan dengan adat serta peruntukan undang-undang negeri.
Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Faizal Musa berkata, melihat kepada ‘tokoh-tokoh’ yang hadir pada pemasyhuran itu mempamerkan langkah luar biasa yang dilakukan oleh pihak-pihak berkepentingan.
Beliau berpandangan, proses pelantikan itu juga telah melanggar tujuh tegahan dalam Adat Pepatih yang perlu dipatuhi oleh setiap pembesar di Negeri Sembilan sebagai panduan menjaga maruah, kebijaksanaan dan kewibawaan institusi adat agar kestabilan beraja Negeri Sembilan terus kekal dipelihara.
“Pertama, tidak boleh memerahkan muka atau cepat meruok marah. Kedua, tidak boleh menghentam tanah yang bermaksud tidak boleh bercakap dengan suara yang keras dan menggunakan isyarat-isyarat yang menggertak, seperti menghentak kaki, menunjukkan buku lima, menumbuk meja dan sebagainya.
“Ini kerana tindakan itu menunjukkan sikap yang biadab, menunjukkan kedegilan, dia sahaja yang betul, orang lain semuanya bodoh dan salah. Sikap ini bertentangan dengan prinsip muafakat dalam adat selain ketiga pemimpin adat tidak boleh sama sekali menyinsing lengan baju.
“Keempat, tidak boleh berlari-lari tangga yang menunjukkan perangai ketergesaan yang boleh membawa kepada kecuaian serta kelima, pembesar adat khusus Undang dan Dato Lembaga tidak boleh menjunjung sesuatu di atas kepala manakala keenam, mereka tidak boleh mengangkat barang dengan mengandar.
“Tegahan terakhir adalah mereka tidak boleh berbual-bual di bawah anjung atau serambi rumah. Perkara ini untuk memelihara kemuliaan pemimpin adat supaya tidak bercampur dengan juak, balaci, dan orang yang hina di mana hari ini wujud dalam bentuk manusia seperti scammer, pempengaruh, artis galak, kaki gosip, lasykar siber dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.
Sebelum ini, Undang Yang Empat menggunakan kuasa mereka memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Alor Gajah, Melaka, pada Jumaat.
Majlis pemasyhuran ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
Mengulas lanjut, Mohd Faizal menjelaskan, proses menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir adalah sesuatu yang mengingkari Undang-undang Adat itu sendiri berikutan
sebarang tindakan melibatkan institusi tertinggi negeri perlu berlandaskan adat serta peruntukan undang-undang yang sah, bukan digerakkan secara tergesa-gesa atau dipengaruhi kepentingan pihak tertentu.
Beliau yang juga anak buah dari suku Tiga Batu, Negeri Sembilan berpandangan, Ibu Soko dengan memiliki kedudukan penting dalam Adat Perpatih yang telah pun menggunakan kuasa veto menolak usaha melucutkan Tuanku Muhriz perlu meneliti tindakan Undang Yang Empat sekiranya telah melanggar Undang-Undang Nan Lapan
“Dalam Adat Perpatih, Undang-Undang Nan Lapan adalah pengertian konsep jenayah. Lapan perkara jahat itu adalah tikam bunuh (membunuh); sumbang salah (berzina); maling curi (mencuri); samun sakal (menyamun), dahaga dahagi (memberontak); umbuak umbai (rasuah); siar bakar (membakar atau melakukan ‘arson’) dan terakhir, upas racun (santau menyantau).

“Saya berpandangan, tindakan di Tampin itu wajar disiasat menurut adat sebagai dahaga dahagi. Pembesar adat yang waras dan sekalian Ibu Soko juga perlu menyiasat jika terdapat anasir umbuak umbai atau korupsi dalam hal ini. Sangat menghairankan tiada angin tiada ribut Yamtuan Besar dipecat.
“Belum berlaku dalam sejarah, jangan-jangan, mungkin semua ini dilakukan di balik tabir untuk membebaskan seseorang yang melakukan umbuak umbai,” katanya.
Mengulas kedudukan institusi wanita dalam Adat Perpatih, Mohd Faizal berkata, golongan Ibu Soko bukan sekadar memainkan peranan simbolik, sebaliknya mempunyai pengaruh besar dalam proses membuat keputusan masyarakat adat.
Katanya, tindakan Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri yang melucutkan pesaka mantan Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Klana Petra Mubarak Thahak, menunjukkan peranan dan kuasa Ibu Soko masih berfungsi mengikut lunas adat serta peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Dalam syarahan diterbitkan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan selain didukung oleh Datuk Seri Mohamad Hasan yang ketika itu Menteri Besar menjelaskan yang Ibu Soko mempunyai kuasa veto, termasuk dalam hal politik. Ini sesuai dengan Adat Perpatih yang merupakan undang-undang yang melebihkan posisi kaum wanita
“Wanita adat juga mempunyai suara yang sama dengan lelaki, walaupun dalam perkampungan, mereka berada di bahagian dalam. Selain itu, segala sesuatu yang akan diputuskan dan dilaksanakan harus mendapat persetujuan daripada pihak wanita.
“Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita terutama Ibu Soko mempunyai kuasa veto dalam semua perkara yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan anggota masyarakat sebagai unit kelompok kekeluargaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat, tindakan mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz tanpa mengambil kira suara Ibu Soko dan prinsip musyawarah yang menjadi teras Adat Perpatih boleh dianggap bercanggah dengan semangat adat yang diamalkan sekian lama di Negeri Sembilan.
“Saya percaya ramai rakyat Negeri Sembilan terkejut dengan kejadian tersebut. Malah sedang memperhatikan tindak-tanduk parti serta pembesar adat yang melanggar perbilangan dan ketentuan adat,” katanya.





