MINDA TOK ABAH: Takhta yang memayungi negara

DALAM wacana masyarakat, kita selalu mendengar dan berbalah tentang kerajaan, parti dan pemimpin. Hingga kita terlupa bahawa di atas semua kebisingan itu, negara ini sebenarnya berdiri atas satu kerangka yang lebih besar dan lebih tua daripada kewujudan parti politik yang ada hari ini. Kerangka itu ialah sistem institusi beraja.

Ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, para pengasas negara telah memilih untuk mengekalkan institusi beraja yang sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti politik dan ketamadunan Tanah Melayu, lalu menggabungkannya dengan sistem demokrasi moden yang memberikan kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Daripada gabungan itulah lahirnya sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menjadi asas pembinaan negara sehingga hari ini. Apa yang lebih menarik, sistem beraja bukan sahaja dikekalkan di peringkat negeri melalui sembilan Raja Melayu, malah diperkukuhkan lagi di peringkat Persekutuan melalui pewujudan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.

Ia merupakan keputusan kenegaraan yang besar dan penuh hikmah. Ketika banyak negara memilih untuk mengecilkan peranan monarki selepas mencapai kemerdekaan, Malaysia sebaliknya meletakkan institusi raja sebagai sebahagian daripada struktur negara moden.

Maka lahirlah satu sistem di mana sebuah negara demokrasi yang dipilih rakyat, tetapi pada masa yang sama dipayungi oleh institusi Yang di-Pertuan Agong sebagai lambang kedaulatan, perpaduan dan kesinambungan negara. Inilah keunikan dan keistimewaan Malaysia. Kerajaan boleh bertukar, parti politik boleh menang dan kalah, Perdana Menteri boleh datang dan pergi namun, institusi Yang di-Pertuan Agong kekal berdiri sebagai payung kepada keseluruhan sistem kenegaraan.

Atas sebab itulah institusi Yang di-Pertuan Agong tidak boleh difahami sekadar sebagai simbol istiadat atau penghias majlis rasmi negara. Perlembagaan memberikan baginda tanggungjawab yang jauh lebih besar. Baginda berperanan sebagai tonggak kestabilan negara, sumber legitimasi pemerintahan, lambang perpaduan rakyat serta salah satu mekanisme semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara.

Dalam kebanyakan urusan pentadbiran negara, Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan yang memerintah. Namun dalam masa yang sama, baginda turut mempunyai ruang budi bicara tertentu yang diperuntukkan oleh Perlembagaan bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara.

Sebab itulah institusi Yang di-Pertuan Agong memerlukan barisan penasihat yang jujur, amanah, ikhlas dan bertanggungjawab dalam mempersembahkan nasihat serta maklumat yang tepat kepada baginda. Hari ini, tanggungjawab tersebut dipikul oleh kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anggota Kabinetnya.

Hubungan seperti inilah yang menjadikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen terus berfungsi dengan berkesan. Malah, rakyat Malaysia telah menyaksikan bagaimana fungsi tersebut dimainkan ketika negara berhadapan krisis politik antara tahun 2020 hingga 2022.

Tempoh tersebut merupakan antara episod paling mencabar dalam sejarah politik moden negara. Kerajaan bertukar tanpa pilihan raya. Perdana Menteri meletakkan jawatan. Ketidaktentuan politik berlaku ketika negara sedang bergelut menghadapi pandemik COVID-19 yang mengancam nyawa dan ekonomi rakyat.

Ketika itu, perhatian negara tertumpu kepada Istana Negara. Ketika parti-parti politik gagal mencapai kesepakatan, institusi Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan bagi memastikan kelangsungan pentadbiran negara berjalan dengan tertib dan aman.

Peristiwa tersebut buat pertama kalinya dalam sejarah moden negara, rakyat dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana institusi raja berperlembagaan berfungsi sebagai penimbang tara ketika berlaku kebuntuan politik yang tidak mampu diselesaikan melalui jalan politik.

Ia juga membuktikan bahawa para pengasas negara tidak mengekalkan institusi beraja semata-mata atas alasan tradisi atau nostalgia sejarah. Mereka memahami bahawa akan tiba saat-saat tertentu dalam perjalanan negara apabila kestabilan politik memerlukan kewujudan satu institusi yang berada di atas kepentingan parti, kelompok dan percaturan kuasa.

Malangnya, dalam era media sosial hari ini, masih ada yang gagal memahami kedudukan tersebut. Budaya memperlekeh, menghina dan mempersendakan institusi negara semakin mudah tersebar. Sedangkan, memahami, menghormati dan memelihara institusi yang menjadi tunjang negara adalah tanggungjawab setiap warganegara.

Kemuliaan takhta bukan soal mengagungkan individu. Sebaliknya, kemuliaan takhta berkait secara langsung dengan kewibawaan sistem yang selama ini membantu memayungi negara. Malah, mempertahankan institusi Yang di-Pertuan Agong bukan bermaksud menolak demokrasi. Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan demokrasi itu sendiri.

Dan sehingga hari ini, ketika badai politik datang silih berganti, institusi itulah yang terus berdiri sebagai salah satu tiang seri yang memegang negara ini agar tidak rebah.

Dirgahayu Tuanku!

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pagi tadi.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

PUTRAJAYA  – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan supaya permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak. Bahagian Hal Ehwal…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MTPMA63: Kerajaan setuju prinsip tambah penyertaan Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

MTPMA63: Kerajaan setuju prinsip tambah penyertaan Ahli Parlimen Sabah, Sarawak

Pengibaran Jalur Gemilang manifestasi cinta dan kebanggaan terhadap negara

Pengibaran Jalur Gemilang manifestasi cinta dan kebanggaan terhadap negara

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0