MCMC kenakan kompaun RM200,000 terhadap penyebar maklumat palsu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun berjumlah RM200,000 terhadap lapan individu yang didapati menyebarkan hantaran palsu berkaitan krisis bekalan global melalui pelbagai platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setiap individu terbabit dikenakan kompaun sebanyak RM25,000, manakala lima kes lain telah dirujuk ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

Beliau memaklumkan bahawa sehingga 6 Mei lalu, MCMC telah mengesan lebih 600 hantaran palsu yang berkaitan dengan isu krisis bekalan global, termasuk dakwaan mengenai harga bahan api dan situasi di Selat Hormuz.

“Angka ini menggambarkan betapa seriusnya ancaman maklumat palsu dalam landskap media semasa, di sinilah pentingnya fungsi media untuk terus menjadi benteng utama dalam menangkis penyebaran berita palsu serta sebarang bentuk manipulasi fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Ghopran Yeop Hamzah.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; serta Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026, Mohd Shukri Ishak dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi, Harlina Samson.

Dalam pada itu, Teo berkata media memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar menyampaikan maklumat kerana turut bertanggungjawab membantu masyarakat memahami isu secara menyeluruh dan berfakta.

“Di tengah-tengah lambakan maklumat digital, media arus perdana mesti berfungsi sebagai ejen yang menapis dan menjernihkan kekeruhan maklumat, bukannya menambah ‘kebisingan’ atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Majlis Media Malaysia (MMM) kini melaksanakan Mekanisme Aduan Fasa 2 yang mula berkuat kuasa pada 8 April lalu bagi memperkukuh tadbir urus kendiri industri media.

Melalui mekanisme baharu itu, semua aduan perlu dikemukakan menerusi platform rasmi yang disediakan dan tidak lagi melalui e-mel bagi memastikan proses pengurusan aduan berjalan secara lebih sistematik, telus dan profesional.

Sehingga 31 Mei lalu, MMM menerima 13 aduan yang melibatkan pelbagai isu termasuk ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran serta kesan kandungan terhadap keharmonian sosial. Daripada jumlah tersebut, 11 aduan telah berjaya diselesaikan manakala dua lagi masih dalam proses penelitian.

Dalam perkembangan berkaitan, Teo berkata seramai 768 pengamal media telah menerima manfaat menerusi Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada tahun 2023.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan sumbangan yang disalurkan melalui tabung berkenaan sehingga kini telah mencecah RM2.24 juta.

Related Posts

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

MIRI – Kesemua lima individu yang menaiki helikopter berdaftar 9M-LLF ditemukan maut di dalam bangkai pesawat yang terhempas dan terbakar di hujung landasan Lapangan Terbang Long Lellang pada petang Selasa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH
  • AdenAden
  • September 9, 2026

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lima individu semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes melibatkan Tabung Haji (TH) termasuk bekas pengerusinya. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Rusdi…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

Lima mangsa nahas helikopter ditemukan dalam bangkai pesawat

PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

  • By Aden
  • September 9, 2026
PDRM tahan lima individu termasuk bekas pengerusi TH

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Tidak benar Ismail letak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Di Malaysia PM tolak gaji, di Singapura nilai gaji PM melonjak 64 peratus

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Merdeka bukan lesen memutar sejarah, Islam terpelihara rekod politik wajar dinilai

Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan

  • By Ezmie
  • September 9, 2026
Persiapan Sambutan Hari Malaysia Ke-63 di Sabah giat diselaraskan