PUTRAJAYA – Kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disifatkan sebagai komitmen kerajaan dalam menterjemahkan agenda nasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif yang menyediakan lebih 3,200 peluang pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan logistik itu disifatkan amat penting bagi menjaga kebajikan bakal pesara tentera.
Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan tiada ketidakpadanan antara latihan dan pekerjaan melalui pendekatan “Place and Train” yang memberi fokus kepada latihan berdasarkan keperluan sebenar industri.
“Kebetulan ini bukan terkait dengan pilihan raya di Johor, tetapi ini juga bukan terkait dengan soal UMDAP, tetapi ini adalah komitmen untuk menterjemahkan agenda nasional.
“Ertinya kepedulian Kerajaan MADANI terhadap semua kumpulan masyarakat terutamanya mereka yang bakal bersara di dalam perkhidmatan ketenteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kerjasama Strategik Kementerian Pengangkutan (MoT) dan MINDEF dalam Memperkasa TVET, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerjasama membabitkan dua kementerian itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan mempunyai laluan kerjaya yang jelas dan berdaya saing.
Menurut beliau, usaha berkenaan turut menunjukkan keberkesanan pendekatan kerajaan yang mengutamakan kerjasama rentas kementerian bagi menyelesaikan isu rakyat dengan lebih pantas.
“Apabila kita mengambil pendekatan tidak bekerja secara silo, maka keberhasilannya dapat dilaksanakan dengan segera.
“Oleh yang demikian, kepedulian kita terhadap bakal pesara tentera apabila PERHEBAT (Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera) melakukan perubahan kepada bukan lagi kursus konvensional, PERHEBAT keluar daripada kepompong kebiasaan dengan melakukan yang luar biasa,” katanya.
Beliau berkata, anggota dan veteran ATM adalah aset tenaga kerja negara yang mempunyai disiplin tinggi, dedikasi serta pengalaman yang amat diperlukan dalam industri logistik, pengangkutan, aeroangkasa dan maritim.
“Justeru, penyediaan peluang pekerjaan bukan sahaja membantu golongan berkenaan meneruskan kehidupan selepas bersara, malah membolehkan negara memanfaatkan pengalaman dan kemahiran mereka untuk memenuhi keperluan tenaga kerja industri,” katanya.






