
IPOH – Pepatah ‘setiap nyawa amat bernilai’ dibuktikan apabila seekor kucing yang tersepit pada bahagian spring sebuah kerusi urut berjaya diselamatkan anggota bomba dalam satu operasi khas di Taman Bougainvilla, Kinding, Tanjung Rambutan, dekat sini pada Selasa.
Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.53 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan penyelamat mendapati kucing berkenaan berada dalam keadaan tersepit pada struktur spring kerusi urut dan gagal melepaskan dirinya.
“Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan yang bersesuaian dengan penuh berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kecederaan kepada haiwan tersebut,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Operasi berkenaan berjaya dilaksanakan tanpa sebarang insiden tidak diingini, sekali gus membolehkan kucing terbabit dikeluarkan dengan selamat.
Haiwan itu kemudian diserahkan semula kepada pemiliknya selepas operasi tamat.
Menurut BBP Tambun, walaupun melibatkan seekor haiwan peliharaan, tugas menyelamat tetap dilaksanakan dengan penuh komitmen kerana setiap nyawa mempunyai nilai tersendiri.
“Setiap nyawa amat bernilai dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantu sedaya upaya,” menurut kenyataan tersebut.
Foto: BBP Tambun



