SKUDAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan politik yang diamalkannya selama ini bukan petanda kelemahan atau perubahan pendirian politik, sebaliknya merupakan strategi diplomasi yang bertujuan memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dalam satu kenyataan panjang yang dimuat naik di media sosial, Marina menolak dakwaan dan spekulasi yang mengaitkan dirinya dengan tindakan lompat parti atau dipengaruhi mana-mana pihak susulan pendiriannya yang dilihat kurang lantang mengkritik kerajaan.
Menurut beliau, setiap keputusan yang dibuat adalah hasil perbincangan bersama pasukan yang menjadi tulang belakang perjuangannya serta memahami cara kerjanya sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak memilih untuk membangkang semua perkara semata-mata kerana perbezaan politik. Politik bukan sekadar soal sejauh mana kita hebat menyerang orang, tetapi soal menyelesaikan masalah di lapangan,” katanya.

Marina berkata, beliau lebih cenderung kepada pendekatan yang berasaskan rundingan, persefahaman dan hubungan kerja yang baik berbanding konfrontasi berterusan yang menurutnya tidak semestinya membawa manfaat kepada rakyat.
Mengambil inspirasi daripada karya klasik The Art of War oleh Sun Tzu, beliau menjelaskan bahawa kemenangan terbaik adalah kejayaan yang dicapai tanpa perlu bertempur.
“Banyak masalah rakyat dapat diselesaikan melalui hubungan kerja yang baik, rundingan yang matang dan kemampuan membina jambatan antara pelbagai pihak,” katanya.
Beliau turut mengaitkan pendekatan tersebut dengan konsep Islam mengenai hati manusia atau al-Qalb, yang menurutnya sentiasa berubah-ubah dan perlu didekati dengan hikmah serta kebijaksanaan.
Menurut Marina, dalam urusan melibatkan manusia, aspek emosi, perasaan dan budi bicara tidak boleh diketepikan kerana ia sering memainkan peranan penting dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa sokongan terhadap sesuatu dasar atau keputusan kerajaan tidak seharusnya dilihat sebagai sokongan membuta tuli, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan manfaat yang bakal diterima rakyat.
“Apabila sesuatu perkara memberi manfaat kepada orang kawasan saya, menjadi tanggungjawab saya untuk menyokong perkara yang baik. Namun apabila terdapat kelemahan, saya akan menegur dan menawarkan penyelesaian,” katanya.
Marina berkata, teguran dan pandangan yang dibawanya sering disalurkan melalui sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat serta perbincangan terus dengan pihak berkaitan.
Beliau turut mengakui terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan pendekatannya, khususnya mereka yang melihat peranan pembangkang sebagai perlu menentang setiap tindakan kerajaan.
Namun, katanya, keutamaan beliau kekal kepada usaha menyelesaikan pelbagai isu rakyat yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu, termasuk masalah yang wujud sebelum beliau dilahirkan.
“Politik ada waktunya, terutama ketika pilihan raya. Tetapi membantu rakyat tidak boleh menunggu musim,” katanya.
Menurut Marina, kekuatan sebenar seorang ahli politik bukan diukur melalui jumlah pertelingkahan yang dicetuskan, tetapi melalui sejauh mana masalah rakyat berjaya diselesaikan.
Beliau menyifatkan pendekatan tersebut sebagai “diplomasi strategik” yang selari dengan budaya politik Johor yang sejak sekian lama lebih menekankan kestabilan, hubungan kerja dan penyelesaian praktikal berbanding politik konfrontasi yang berpanjangan.
“Matlamat membantu rakyat kekal sama, tetapi kaedahnya boleh berubah mengikut keadaan. Bagi saya, ini bukan tanda kelemahan, tetapi satu bentuk diplomasi strategik yang membolehkan lebih banyak perkara dicapai untuk kawasan saya,” katanya.





