Dana interim RM1.5 bilion diharap perkasa sektor pelancongan Sabah

TAWAU – Kerajaan Sabah diharap dapat menyalurkan dana daripada bayaran interim RM1.5 bilion yang diterima Sabah kepada sektor pelancongan negeri ini yang secara tidak langsung merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal berkata, ini disebabkan sektor pelancongan merupakan antara pemacu utama yang memberi pulangan kepada negara.

“Saya sangat bersetuju pendidikan dan kesihatan itu perlu diutamakan kerana rakyat yang sihat, rakyat yang berpendidikan itu adalah tunjang kepada kemajuan negara.

“Namun kita kena faham pelancongan juga adalah salah satu sektor yang membawa pulangan kepada negara jadi saya berharap juga agar ada sedikit peruntukan disalurkan, ” katanya kepada media selepas merasmikan Likefest Kaamatan 2026 anjuran PMKS Zon Tawau di Kompleks Sukan Tawau, pada Ahad.

Shamsureezal yang juga ADUN Tanjung Batu berkata, usaha memperkukuh sektor pelancongan negeri perlu memberi tumpuan kepada peningkatan kemudahan asas serta penambahbaikan infrastruktur bagi memastikan Sabah terus kekal kompetitif sebagai destinasi pelancongan utama.

“Kita juga perlu mencantikkan taman-taman serta tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancong.

“Selain itu, salah satu faktor paling penting dalam menarik pelancong adalah promosi di dalam dan luar negara.

“Oleh itu, saya berharap dana yang diterima ini dapat diberikan kepada KePKAS untuk melaksanakan program-program yang mampu menarik pelancong serta menambah baik infrastruktur kita,” ujarnya.

Mengulas mengenai program Likefest berkenaan, beliau berkata, program selama tiga hari bermula Jumaat itu berjaya memberi limpahan manfaat kepada usahawan kecil dan sederhana negeri ini.

“Penganjuran acara berkonsepkan festival itu berjaya menarik pelancong dari luar daerah serta luar negeri, termasuk dari Sarawak dan Brunei yang secara tidak langsung meningkatkan kadar kunjungan ke Tawau.

“Beberapa aktiviti yang sangat baik untuk peniaga turut dilaksanakan, antaranya program padanan perniagaan melibatkan peniaga kecil dengan syarikat-syarikat besar seperti 7-Eleven serta beberapa syarikat lain.

“Inisiatif ini dilihat sangat baik kerana produk daripada peniaga kecil berpeluang dipasarkan secara terus di kedai-kedai yang lebih besar,” tambahnya.

Related Posts

Marina tegas tolak dakwaan lompat parti, pilih politik diplomasi demi kepentingan rakyat

SKUDAI – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim menegaskan bahawa pendekatan politik yang diamalkannya selama ini bukan petanda kelemahan atau perubahan pendirian politik, sebaliknya merupakan strategi diplomasi yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Interim RM1.5 bilion tingkat keperluan rakyat, ketegasan tuntut MA63 – Yun Fah

TAWAU – Kenaikan pemberian khas interim RM1.5 bilion kepada Sabah disifatkan sebagai langkah signifikan yang membuka ruang lebih luas kepada penyediaan kemudahan untuk rakyat di negeri ini. Timbalan Pengerusi GRS,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anak Terengganu terima gelaran Tun, lakar sejarah dalam institusi kehakiman negara

Anak Terengganu terima gelaran Tun, lakar sejarah dalam institusi kehakiman negara

Marina tegas tolak dakwaan lompat parti, pilih politik diplomasi demi kepentingan rakyat

Marina tegas tolak dakwaan lompat parti, pilih politik diplomasi demi kepentingan rakyat

Rukun Negara asas jati diri bangsa, rakyat perlu hayati prinsip kebangsaan – Agong

Rukun Negara asas jati diri bangsa, rakyat perlu hayati prinsip kebangsaan – Agong

Dana interim RM1.5 bilion diharap perkasa sektor pelancongan Sabah

Dana interim RM1.5 bilion diharap perkasa sektor pelancongan Sabah

Interim RM1.5 bilion tingkat keperluan rakyat, ketegasan tuntut MA63 – Yun Fah

Interim RM1.5 bilion tingkat keperluan rakyat, ketegasan tuntut MA63 – Yun Fah

Skim Lindung 24 Jam perluas jaringan keselamatan sosial pekerja mulai hari ini

Skim Lindung 24 Jam perluas jaringan keselamatan sosial pekerja mulai hari ini