
KOTA KINABALU – Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait dengan pembayaran interim sejumlah 1.5 billion ringgit untuk tahun 2026, daripada jumlah 40 % yang dituntut oleh rakyat negeri Sabah selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibawah Fasal 112 D.
Presidennya, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, walaupun pada pemikiran sesetengah pemimpin dan rakyat Sabah jumlahnya tidak memuaskan, namun, pada USNO, ianya merupakan tindakan yang adil, saksama dan bertanggungjawab dan wajar untuk disokong.
“Saya percaya keputusan ini dibuat dengan teliti dan ikhlas, disandarkan kepada kehendak peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Fasal 112 D (2) yang berbunyi,
“Apa-apa kajian semula di bawah Perkara ini hendaklah mengambil kira kedudukan Kewangan Kerajaan Persekutuan serta juga keperluan negeri yang berkenaan itu.
“Kesaksamaan tindakan di bawah Fasal 112 D (2), ialah, sebagai Perdana Menteri, ‘with out fear or favour’, wajar bersikap adil bukan sahaja kepada rakyat Sabah tetapi juga terhadap keperluan kewangan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh beliau.
“Dalam soal ini, USNO memuji keberanian dan pandangan jauh yang dipamerkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di mana, apa pun keputusan Mahkamah terhadap perkara ini kelak, hakikatnya, Mahkamah tidak akan dapat menentukan secara tuntas berapa jumlah sebenarnya yang perlu dibayar oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Sabah dan bila pula bayaran tersebut perlu semuanya dilunaskan.
“Ini adalah kerana, dengan berbuat demikian, Mahkamah akan dilihat sebagai mencampuri hal di bawah bidang kuasa eksekutif, yang jelas bercanggah dengan prinsip ‘seperation of power,” ujarnya dalam kenyataan media pada Ahad.
Tambah Pandikar, dalam soal tersebut, pihak yang berhak untuk menentukan jumlah yang perlu dibayar dan tempoh masa pembayaran ialah pihak eksekiutif iaitu kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
“Pandangan ini disandarkan kepada peruntukan Fasal 112 D (6), yang berbunyi:
“Jika dalam apa-apa kajian semula Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan sesuatu Negeri tidak dapat mencapai persetujuan atas apa-apa perkara, maka perkara itu hendaklah dirujukkan kepada pentaksir bebas dan syor pentaksir bebas mengenai dengan perkara itu, hendaklah mengikat kerajaan yang berkenaan itu dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah syor itu ialah persetujuan antara kerajaan itu”
“Peruntukan ini sengaja dimaktubkan di dalam Perlembagaan untuk memberi ruang yang seluas-luasnya kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk berunding berkait dengan jumlah yang perlu dibayar tanpa terikat kepada masa bila pembayaran perlu dilunaskan.
“Dalam erti kata lain, tempoh pembayaran dan jumlahnya adalah tertakluk kepada persetujuan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, di mana persetujuan tersebut terikat kepada kemampuan Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Dalam pada masa yang sama, Pandikar turut mengakui untuk membangunkan Sabah pada tahap yang sama dengan pembangunan Sarawak, kerajaan negeri Sabah memerlukan berbillion-billion ringgit.
“Akan tetapi, keperluan ini wajar juga diketimbangkan dengan keperluan Kerajaan Persekutuan yang wajar diperkasakan keadaan ekonominya di mata dunia untuk dapat menarik minat para pelabur dari luar negara.
“Adalah wajar untuk disedari oleh semua pihak bahawa untuk membentuk sebuah negara yang kuat dan efisien, kepentingan sebilangan rakyat dalam negara tersebut hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin, supaya tidak menjejaskan kekuatan negara yang berkenaan.
“Kesedaran terhadap perkara ini dinyatakan dengan jelas di dalam perenggan 9 dan perenggan 10 Memorandum MSCC yang diserahkan kepada Suruhanjaya Cobbold.
Perenggan 9:
“Jawatankuasa ini didalam proses perbincangannya telah membuat kesimpulan bahawa…ia juga menyokong objektif Kerajaan Pusat yang berkesan sebagai penting untuk mengekalkan Malaysia…”
Perenggan 10:
“Jawatankuasa ini sudah tentu berpendapat bahawa apa juga perlindungan yang mungkin disediakan untuk Wilayah Borneo mesti lah selaras dengan hasrat yang dinyatakan oleh Rakyat Borneo itu sendiri, tetapi pengaturan sedemikian TIDAK seharusnya menjejaskan prinsip Kerajaan Pusat yang kuat.”
“Pada pandangan USNO, desakan bertubi-tubi dari pemimpin-pemimpin negeri Sabah berkait dengan perkara 40% itu tanpa memikirkan kesan negatifnya, adalah bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Kerajaan Persekutuan dan tidak menghormati keputusan bapa-bapa kemerdekaan Sabah seperti yang dinyatakan di Perenggan 9 Dan 10 Memorandum MSCC,” jelasnya lagi.
Pandikar turut berkata, di samping menuntut hak-hak negeri Sabah di dalam Perlembagaan Malaysia selaras dengan semangat MA63, sewajarnya pemimpin-pemimpin negeri Sabah juga bertanggungjawab untuk memastikan Kerajaan Persekutuan mesti kuat dan berkesan supaya dihormati oleh negara negara luar.
“Pemimpin-pemimpin Sabah juga wajar sedari, Sarawak tidak mempunyai hak 40% seperti yang dimiliki oleh Sabah, namun pembangunan Sarawak adalah jauh lebih pesat dari negeri ini.
“Ini adalah kerana, Sarawak tidak bergantung semata-mata kepada peruntukan dari Kerajaan Persekutuan, atas daya fikiran, usaha dan inisiatif mereka sendiri, Sarawak dapat membangun dan jauh lebih maju berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia Barat.
“Oleh itu, Kerajaan GRS dan pemimpin-pemimpin negeri Sabah diluar GRS, wajar belajar dari kejayaan Sarawak tanpa bergantung semata-mata kepada peruntukan dari kerajaan Persekutuan,” kongsinya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri mengumumkan peningkatan geran khas interim kepada Sabah yang melonjak kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini berbanding RM600 juta sebelum ini dalam Majlis Perasmian Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026.
Beliau berkata, langkah berkenaan dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil negeri dimuktamadkan menerusi perundingan rasmi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.






