SUDAH tiada harapan untuk sebarang kerjasama harmoni lagi bersama Pas selepas pemimpin Bersatu di Melaka menyindir pihak yang mendakwa parti itu tiada jentera sebagai pekak.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti tiada jentera, tambahan pula jika ia parti baharu, namun yang menjadi masalah adalah kegagalan untuk mengakui kelemahan serta kekerdilan itu.
“Apabila penafian terhadap hakikat itu berlaku, tindakan yang akan lahir nanti berasaskan keyakinan diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang jelas terpampang ialah sebaliknya. Bukan juga menjadi masalah jika kekurangan jentera itu diikuti dengan usaha pemantapan parti.
“Namun, jika dalam tempoh bertahun-tahun selepas pilihan raya parti itu asyik berantakan, ia bukan memantapkan parti, sebaliknya hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Ahad.
Oleh kerana itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa, parti tersebut apabila bertanding lebih banyak kerusi daripada kawan-kawan dalam gabungan, tetapi seringkali gagal menang lebih banyak, kerana terhasil daripada kajian serta bacaan yang tidak tepat.
“Maka jika menyatakan hakikat bahawa Bersatu ketiadaan jentera dikatakan pekak, tiada harapan lagi sebuah kerjasama harmoni selepas ini.
“Apatah lagi tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini pun dalam isu Perlis dan Negeri Sembilan boleh melahirkan kebimbangan apakah selepas PRU16 nanti akan ada pertimbangan secara bersendirian di dalam membentuk kerajaan persekutuan?” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau secara peribadi mencadangkan jalan terbaik adalah bergerak secara berasingan.
“Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihanraya. Anda boleh mencari kawan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria bau.
“Selamat Maju Jaya,” tulisnya.





