
KOTA KINABALU – Komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan Sabah terus mendapat penghargaan apabila pelbagai inisiatif dan projek strategik dilaksanakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu kemiskinan, memperkukuh infrastruktur serta memberi lebih autonomi kepada Sabah dalam pelaksanaan projek pembangunan membuktikan komitmen yang serius terhadap kemajuan negeri berkenaan.
Tambahnya, seiring dengan perkembangan positif ini, kerajaan negeri berharap usaha memperkasa Sabah dapat diteruskan menerusi penyelesaian tuntutan hak 40 peratus serta semakan semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
“Komitmen ini sudah lama dinantikan dan amat dihargai oleh seluruh rakyat Sabah. Kita berharap komitmen tersebut dapat diteruskan melalui tindakan menyemak semula kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C yang bersandarkan kepada hak 40 peratus negeri.
“Walaupun proses rayuan di mahkamah masih berlangsung, perkara berkaitan hak semasa 40 peratus berhubung pemberian khas ini wajar diberi perhatian dengan peningkatan daripada kadar semasa yang telah diwartakan melalui pengaturan interim,” katanya semasa berucap pada Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada Sabtu.
Menurut Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, peningkatan kadar pemberian khas yang baharu bermula tahun 2026 amat penting bagi mewujudkan ruang fiskal tambahan kepada kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan rakyat, khususnya berkaitan penstabilan bekalan air, jaringan jalan raya dan pembinaan jambatan.
“Sabah masih memerlukan peruntukan pembangunan yang besar memandangkan keluasan negeri ini serta cabaran infrastruktur yang masih perlu ditangani,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam membasmi kemiskinan tegar dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Menurutnya, pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), yang diperkukuh menerusi Program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) oleh Kerajaan Negeri, telah membantu meningkatkan daya tahan kewangan isi rumah miskin dan miskin tegar selain mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Kehadiran dan komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menunjukkan fokus pembangunan yang inklusif, bukan sahaja dari aspek ekonomi dan infrastruktur tetapi juga pembangunan kebudayaan setiap etnik di Sabah.
“Perdana Menteri juga kerap turun padang melihat sendiri keperluan rakyat dan mendengar denyut nadi masyarakat di negeri ini, termasuk lawatan terbaru ke Pulau Banggi,” kongsinya.
Dalam perkembangan berkaitan, Joachim menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pelaksanaan 83 projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) bernilai RM4.06 bilion kepada Sabah.
Katanya, langkah tersebut mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap keupayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan projek pembangunan yang memberi impak besar kepada rakyat.
“Langkah itu diyakini dapat mempercepatkan penyelesaian isu bekalan air luar bandar yang sekian lama menjadi antara keutamaan rakyat negeri ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengemukakan permohonan kepada Perdana Menteri untuk merealisasikan pembinaan sebuah kolej universiti di Tambunan yang telah lama dirancang.
“Kerajaan negeri telah menyediakan tapak bagi projek berkenaan dan majlis pecah tanah juga pernah disempurnakan oleh Perdana Menteri sebelum ini.
“Pembinaan kolej universiti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar dari komuniti luar bandar di Sabah, malah berpotensi menjadi pusat pendidikan yang dapat menarik pelajar dari seluruh negara,” katanya.






