
TAWAU – Hujan lebat dan ribut petir pada pagi Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan dan jalan raya sekitar daerah ini dilanda banjir kilat selain atap tiga buah rumah di Jalan Utara di sini, diterbangkan ribut.
Antara kawasan terjejas banjir kilat termasuklah Jalan Sin Onn, Taman Brakely, Taman Green, Takada, Batu 2 Saddani, Kampung Kopi Blues, Batu 2 Jalan Hj Zainuddin dan Simpang 5.
Jalan raya utama terjejas banjir kilat di Sin Onn dan Takada menyebabkan aliran trafik perlahan agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Difahamkan, pihak Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.70 Kukusan juga telah melakukan tinjauan di ketiga-tiga rumah yang terjejas ribut.
Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang laporan rasmi pembukaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan pengisyitiharaan bencana di buat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin ketika dihubungi turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkenaan banjir.

“Bagaimanapun, semua pasukan telah digerakkan untuk pemantauan.
“Pemantauan bermula seawal 9 pagi di kawasan berisiko banjir iaitu Taman Green, Kampung Rawa-Rawa, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Apas,” ujarnya.





