MERSING – Program Korban Aidiladha anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Mersing berlangsung dengan jayanya pada 28 Mei lalu di Kampung Belukar Juling, Endau, dengan penglibatan aktif jawatankuasa cabang, Angkatan Muda Keadilan (AMK) serta komuniti setempat.
Ketua Biro OKU PKR Cabang Mersing, Zulinah A Johari berkata, program tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah berjaya mengukuhkan semangat gotong-royong dan ukhuwah dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sebanyak lima ekor lembu telah dikorbankan sepanjang program berkenaan dan daripada jumlah itu, empat ekor merupakan sumbangan daripada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, program korban PKR Cabang Mersing telah berlangsung dengan lancar dan mendapat kerjasama yang sangat baik daripada semua pihak.

“Saya sendiri turut bersama-sama membantu sepanjang program berlangsung, bermula daripada urusan penyembelihan, melapah sehingga proses pengagihan daging korban kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua sukarelawan, jawatankuasa penganjur dan penduduk kampung yang berganding bahu menjayakan program berkenaan dari awal hingga selesai.
Tambahnya, program seumpama itu diharap dapat terus menjadi platform menyemai nilai kebersamaan, keprihatinan serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“Semoga segala usaha dan pengorbanan ini diterima Allah SWT serta terus mengeratkan ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam komuniti kita,” katanya lagi.





