KUALA LUMPUR – Kerajaan menyatakan kesediaan untuk menerima kerugian jangka pendek dalam pelaburan strategik melibatkan ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI), khususnya oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), selagi ia dilaksanakan secara telus dan berlandaskan tadbir urus yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan kini tidak lagi menjadikan kerugian semata-mata sebagai ukuran utama, khususnya bagi pelaburan yang penting kepada pembangunan ekonomi masa depan negara.
Beliau menjelaskan, pelaburan dalam sektor teknologi baharu termasuk AI dan ekonomi digital sememangnya berisiko tinggi serta tidak menjanjikan pulangan segera.
“Selagi ia telus, mempunyai tadbir urus baik dan dasar yang jelas, soal kerugian itu bukan isu utama.
“Sudah tentu kita mahu setiap pelaburan dibuat dengan penelitian dan pertimbangan sewajarnya. Namun bagi sektor yang penting kepada masa depan ekonomi negara, kerajaan perlu bersikap adil serta berpandangan jauh,” katanya pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri ke-12, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berkaitan tahap toleransi kerajaan terhadap kerugian yang mungkin ditanggung GLC dan GLIC dalam pelaburan berisiko tinggi termasuk AI serta teknologi digital.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.Dalam pada itu, Anwar turut mengakui kebimbangan terhadap kebergantungan Malaysia kepada lebih dua juta pekerja asing yang masih tinggi ketika ini.
Beliau menegaskan negara tidak boleh terus bergantung kepada buruh asing murah sekiranya mahu bergerak ke arah rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Katanya, kerajaan sedang memperluaskan latihan tenaga kerja tempatan melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), universiti serta kolej bagi memperkukuh kemahiran rakyat.
Selain itu, kerajaan turut mengadakan perbincangan berterusan dengan pihak industri bagi memastikan daya saing negara dapat dikekalkan tanpa kebergantungan berlebihan kepada tenaga kerja kos rendah.
Dalam perkembangan lain, Anwar mengakui usaha reformasi tadbir urus serta pembanterasan rasuah berdepan tentangan kuat daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan elit politik dan sebahagian rakan dalam gabungan kerajaan sendiri.
Beliau berkata, budaya lama yang berakar dalam sistem menyebabkan usaha pembaharuan sukar dilaksanakan walaupun ia penting untuk masa depan negara.
“Saya beritahu, ia bukan mudah kerana tentangan sangat kuat daripada pelbagai pihak, termasuk sebahagian rakan dalam gabungan sendiri yang masih selesa dengan budaya lama.
“Tetapi kalau kita tidak ada keberanian untuk berubah, kita akan terus gagal menyelesaikan masalah sebenar rakyat,” katanya.




