
KUCHING – Tindakan Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengosongkan kerusi Parlimen dan keluar daripada PKR disifatkan sebagai satu perkembangan yang sudah dijangka.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, beliau bagaimanapun terkilan kerana langkah drastik itu berlaku lebih awal memandangkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu hanya akan tamat pada awal 2028.
Menurutnya, tindakan tersebut secara langsung amat merugikan pengundi di Parlimen Pandan dan Setiawangsa yang kini kehilangan wakil rakyat lebih awal sebelum tempoh penggal berakhir.
“Apa yang menjadi perhatian ialah tindakan (keluar parti) tersebut berlaku lebih awal sebelum mandat lima tahun tamat atau sehingga Parlimen dibubarkan.
“Namun, biarlah rakyat dan pengundi di kedua-dua kawasan tersebut membuat penilaian sendiri sekiranya mereka berhasrat bertanding semula kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada Selasa, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi (Setiawangsa) secara rasmi mengumumkan pengosongan kerusi masing-masing berkuat kuasa pada Selasa.
Kedua-dua tokoh politik tersebut dilaporkan bakal menyertai parti baharu iaitu Parti Bersama Malaysia.
Mengulas lanjut berkenaan polemik tuntutan bon jaminan RM10 juta susulan tindakan itu, Abun Sui yang juga Ketua Cabang PKR Hulu Rajang menegaskan perkara tersebut wajar diserahkan kepada mahkamah.
Jelas beliau, Setiausaha Agung PKR berhak dan mempunyai asas perundangan yang kukuh untuk mempertahankan tindakan menuntut bon berkenaan.
“Tindakan menuntut bon ini adalah selari dengan peruntukan serta peraturan parti dan juga Undang-Undang Anti Lompat Parti.
“Sebarang penyertaan semula mereka dalam pilihan raya akan datang juga tertakluk kepada keputusan mahkamah jika ada sebarang implikasi perundangan. Walau apa-apa pun, saya ucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua mereka,” ujarnya.




