SEJAK mengambil alih tampuk pentadbiran, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sering tampil dengan pelbagai pengumuman besar yang dikatakan mampu membawa negeri itu ke tahap lebih tinggi.
Namun selepas hampir sepenggal mentadbir, semakin ramai rakyat mula mempersoalkan sejauh mana janji-janji tersebut benar-benar ditunaikan.
Pelbagai projek mega pernah diumumkan kepada rakyat. Antaranya pembinaan stadium bertaraf antarabangsa seperti dimiliki Johor Darul Ta’zim FC, projek litar lumba, Pelabuhan Sanglang, projek Langkasuka serta cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Semua projek ini pernah dijadikan simbol kemajuan Kedah di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini.
Namun sehingga kini, sebahagian besar projek tersebut masih belum menampakkan hasil yang jelas. Ada yang sekadar tinggal pengumuman, manakala ada pula yang terus senyap tanpa perkembangan terkini.
Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat mula hilang keyakinan terhadap kemampuan pentadbiran negeri untuk merealisasikan apa yang telah dijanjikan.
Bukan itu sahaja, beberapa projek asas yang melibatkan kepentingan rakyat juga dikatakan berdepan masalah dan kelewatan. Antaranya isu berkaitan loji rawatan air di Sungai Limau, Baling serta Bukit Selambau, Merbok yang sehingga kini masih menjadi rungutan penduduk setempat. Masalah bekalan air dan kelewatan projek dilihat terus membebankan rakyat.
Kegagalan demi kegagalan ini sedikit sebanyak mula mencalarkan imej Menteri Besar yang sebelum ini sering digambarkan sebagai pemimpin lantang dan berani.
Dalam masa rakyat masih bergelut dengan pelbagai isu harian, timbul pula dakwaan mengenai pembinaan sebuah mahligai mewah yang dikatakan milik Sanusi.
Kediaman yang disebut-sebut terletak di kawasan elit itu dikatakan bernilai jutaan ringgit dan kini hampir siap sepenuhnya.
Persoalan yang timbul dalam kalangan rakyat ialah sama ada dakwaan tersebut benar ataupun sekadar fitnah politik.
Sehingga hari ini, belum ada penjelasan menyeluruh diberikan bagi meredakan persoalan yang berlegar dalam masyarakat.
Difahamkan juga tanah tersebut dikatakan berstatus tanah anugerah yang lazimnya diberikan kepada pemimpin negeri atas jasa dan sumbangan mereka kepada Kedah.
Namun persoalannya, adakah Sanusi benar-benar layak menerimanya?
Apakah jasa besar yang telah dicurahkan sehingga melayakkan beliau menikmati keistimewaan sedemikian dalam tempoh pentadbiran yang masih belum sampai sepenggal penuh?
Ramai rakyat masih samar untuk melihat pencapaian besar yang benar-benar memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.
Apa yang lebih menonjol hanyalah projek landskap seperti penanaman pokok buluh di sekitar Jalan Sungai Korok yang akhirnya menjadi perdebatan selepas beberapa insiden kemalangan berlaku di kawasan tersebut.
Bagi penulis usaha seperti itu bukanlah ukuran kejayaan besar seorang Menteri Besar, sebaliknya sekadar tugas pentadbiran biasa yang boleh dilaksanakan di peringkat tempatan.
Apa yang menghairankan penulis bagaimana seorang pemimpin yang baru mentadbir dalam tempoh singkat mampu dikaitkan dengan kehidupan yang dilihat semakin mewah.
Perkara ini secara tidak langsung mengundang perbandingan dengan tokoh-tokoh terdahulu daripada parti yang sama seperti Allahyarham Azizan Abdul Razak dan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terkenal dengan gaya hidup sederhana sepanjang memegang jawatan.
Kesederhanaan kedua-dua tokoh itu meninggalkan kesan mendalam dalam hati rakyat sehingga mereka dihormati merentasi fahaman politik.
Berbeza dengan keadaan hari ini, kemewahan yang dikaitkan dengan kepimpinan semasa mula menimbulkan persepsi negatif dalam masyarakat.
Dalam masa sama, timbul pula isu melibatkan penduduk di Kupang, Baling yang didakwa diarahkan berpindah dalam tempoh singkat.
Lebih menyedihkan apabila terdapat dakwaan bahawa penduduk tidak diberikan pampasan sewajarnya dan berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal mengosongkan kawasan berkenaan.
Situasi ini menimbulkan persoalan besar mengenai nasib rakyat bawahan yang terpaksa memikirkan tempat tinggal dan masa depan keluarga mereka.
Lebih bombastik lagi apabila kebanyakan penduduk yang terkesan dikatakan terdiri daripada penyokong dan pengundi parti pemerintah sendiri.
Sebagai seorang Menteri Besar, rakyat tentunya mengharapkan penyelesaian yang lebih adil dan berperikemanusiaan, bukannya sekadar alasan atau sikap lepas tangan.
Ungkapan ‘tidak tahu’ yang sering dikaitkan dengan kepimpinan negeri hari ini semakin menambahkan rasa kecewa rakyat terhadap pentadbiran sedia ada.
Tergamakkah Sanusi hari ini tinggal dalam mahligai indah sedangkan penduduk di Kupang, Baling berlinang air mata?
Mungkin sudah tiba masanya rakyat Kedah menilai semula arah tuju negeri ini. Politik bukan sekadar retorik, ceramah atau slogan agama semata-mata, tetapi soal amanah, kebajikan dan kemampuan mentadbir dengan berkesan.
Rakyat Kedah berhak mendapat kepimpinan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat, menunaikan janji serta mengutamakan kesejahteraan negeri melebihi kepentingan peribadi dan politik.
Penulis yakin rakyat negeri Jelapang Padi ini pasti akan bangkit dan menukar kepimpinan yang ada hari ini.







