KUALA LUMPUR – Kerajaan memperhebat langkah kesiapsiagaan negara menerusi pelaksanaan dasar yang lebih tepat, penyelarasan bantuan yang adil serta tindakan segera bagi mendepani cabaran krisis bekalan global susulan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik antarabangsa.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kekal memberi keutamaan kepada jaminan bekalan makanan, tenaga, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pengurusan subsidi, mengawal ketirisan serta memperkemas penguatkuasaan turut dilaksanakan bagi memastikan bekalan sedia ada dapat dimanfaatkan secara optimum.
Katanya, pendekatan itu penting bagi mengelakkan peningkatan kos dipindahkan sepenuhnya kepada pengguna dan sektor industri.
Selain itu, kerajaan juga akan memanfaatkan potensi baharu dalam sektor biodiesel, bahan api lestari dan sumber alternatif sebagai langkah memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam jangka panjang.
Beliau berkata, kerjasama dengan pihak industri, persatuan perniagaan, kementerian, agensi penguat kuasa serta pemegang taruh berkaitan akan terus dipertingkat supaya setiap pandangan dapat dinilai secara menyeluruh sebelum sesuatu dasar diputuskan.
“Dalam mendepani cabaran ini, keutamaan kerajaan kekal kepada kesejahteraan rakyat dan daya tahan ekonomi negara.
“Angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik memberikan keyakinan tetapi realiti kos sara hidup rakyat, tekanan operasi industri dan ketidaktentuan global menuntut kerajaan untuk terus berhati-hati dan bertindak pantas,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, sepanjang tempoh krisis itu, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah mengadakan 10 mesyuarat termasuk pada hari ini bagi menilai perkembangan semasa dan mempercepat tindakan kerajaan.
Jelasnya, sebanyak 24 kertas pembentangan melibatkan 13 sektor ekonomi telah dibincangkan dengan 96 keputusan direkodkan setakat 12 Mei lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 11 keputusan telah selesai dan 78 lagi masih dalam pelaksanaan. Ini menunjukkan pendekatan kerajaan bukan bersifat reaktif semata-mata.
“Sebaliknya, tindakan kerajaan adalah secara berterusan melalui pemantauan mingguan, penyelarasan merentas kementerian dan semakan status tindakan bagi memastikan setiap keputusan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang segera dan berkesan,” katanya.





