PUTRAJAYA – Amanah yang diberikan oleh rakyat akan terus dijunjung setiap hari di Parlimen, lapangan bersama masyarakat dalam perbincangan dasar mahupun ruang yang membolehkan suara rakyat Ampang dibawa dan diperjuangkan.
Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berpandangan sedemikian selepas beliau bersama empat lagi Ahli Parlimen PKR bergambar bersama bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam program pengumuman mereka keluar parti, pada Ahad.
Beliau menegaskan tidak pernah dan tidak akan sesekali mengkhianati mandat rakyat Ampang selain, percaya rakyat hari ini semakin matang dalam menilai antara politik persepsi dan kerja sebenar yang dilakukan demi kepentingan mereka.
“Kerusi Parlimen Ampang bukan milik mana-mana individu atau kelompok. Kerusi ini adalah amanah rakyat. Selagi rakyat masih memberi kepercayaan, selagi itulah saya akan terus bekerja dan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab, maruah dan integriti.
“Ampang memerlukan kestabilan, khidmat dan penyelesaian, bukan politik yang hanya menambah perpecahan dan keresahan. Sejak awal pagi tadi, saya berada di lapangan meneruskan siri lawatan kerja.
“Selaku Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Parlimen bagi meneliti pelbagai isu. Bagi saya, itulah amanah sebenar seorang wakil rakyat iaitu hadir, mendengar, meneliti dan membawa suara rakyat ke peringkat pembuat dasar,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, politik tidak seharusnya hanya berkisar mengenai kenyataan media, persepsi dan percaturan dalaman semata-mata sedangkan rakyat sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan yang jauh lebih besar.
Jelasnya, beliau tidak mudah tergugat dengan tuduhan atau label yang dilemparkan hanya kerana wujud perbezaan pandangan dan pendekatan dalam menanggapi sesuatu perkara.
“Dalam sebuah demokrasi yang matang, mendengar pandangan yang berbeza bukan suatu kesalahan. Kematangan politik menuntut kita untuk mengurus perbezaan dengan kebijaksanaan, bukan dengan ketakutan atau tuduhan melulu.
“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan kestabilan politik negara terus dipelihara supaya tumpuan dapat diberikan kepada usaha memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan serta memastikan kebajikan rakyat tidak terabai akibat ketegangan politik yang berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, selain Rodziah, empat pemimpin lagi adalah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, Biro Politik PKR akan bincangkan sama ada tindakan perundangan boleh dikenakan terhadap kelima-lima Ahli Parlimen berkenaan.

Sementara itu, Zahir memaklumkan, kehadirannya semasa program hala tuju politik bekas Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa itu atas dasar memenuhi jemputan sahabat seperjuangan untuk menyaksikan perkongsian hala tuju perjuangan mereka pada masa hadapan.
“Saya menghormati keputusan mereka untuk mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing berkuat kuasa 18 Mei 2026 serta keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa 19 Mei 2026.
“Saya yakin keputusan yang mereka ambil adalah hasil pertimbangan yang menyeluruh dan bukan didorong oleh kepentingan peribadi semata-mata,” katanya





